Home » Langit Terbuka » Pelan pemulihan TH berhasil, lebihan atasi liabiliti RM1 bilion

Pelan pemulihan TH berhasil, lebihan atasi liabiliti RM1 bilion

Di bawah kepimpinan Zukri, TH berjaya memulihkan lembaran imbangannya selepas beberapa tahun mencatatkan defisit terkumpul yang membawa kepada pembayaran dividen tidak sah kepada pendeposit sejak 2014. - Foto Malaysiakini

KUALA LUMPUR – Situasi buruk yang dihadapi Lembaga Tabung Haji (TH) sudah berakhir apabila pelan pemulihan untuk menstabilkannya mula membuahkan hasil.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zukri Samat yang bakal bersara berkata, pengurusan baru berjaya mengurangkan risiko berterusan dana itu dan memulihkan semula lembaran imbangannya.

Katanya, risiko sistemik akan berlaku sekiranya pelan pemulihan itu tidak dilaksanakan.

“Keadaan yang buruk telah berakhir. TH kini melangkah ke depan. Kami sudah melupuskan aset yang tidak mendatangkan keuntungan dan sebagainya.

“Saya memaklumkan kepada Pejabat Perdana Menteri sudah sampai masanya untuk saya berundur. Lebihan mengatasi liabiliti TH berjumlah lebih daripada RM1 bilion.

“Saya telah mewujudkan satu akaun rizab. Semasa keadaan operasi yang baik, anda tidak mengagihkan semua keuntungan anda. Anda simpan sebahagian dalam rizab. TH tidak ada rizab sebelum ini, tetapi sekarang ia berjumlah kira-kira RM400 juta,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Zukri yang dilantik menerajui pelan pemulihan TH pada Julai 2018, akan menamatkan perkhidmatannya lebih awal disebabkan faktor kesihatan. Beliau akan digantikan Nik Mohd Hasyudeen Yusoff pada 1 September ini.

TH merupakan pemegang saham terbesar BIMB Holdings Bhd dengan 53.47% pegangan.

Dana haji itu mencatatkan prestasi kewangan kukuh apabila merekodkan hasil sebanyak RM1.3 bilion dalam separuh pertama 2019, disokong strategi pelaburan mampan dan langkah pengurusan kos berhemat.

“Saya tidak sangka keadaan TH seburuk itu. Semasa saya menyertainya, kami meneliti masalah tersebut dan keseluruhan situasi lebih buruk daripada dijangkakan.

“Orang bercakap tentang pelaburan merugikan dalam TH Engineering dan sebagainya. Ini adalah maklumat yang orang ramai tahu. Tetapi, realitinya banyak lagi yang lebih teruk. Apa yang lebih mengejutkan ialah pada dasarnya pendedahan laporan PwC yang ditauliahkan TH semasa kepimpinan baru menyertai lembaga.”

Zukri merujuk laporan PricewaterhouseCoopers (PwC) yang mendedahkan TH gagal mengiktiraf kerugian rosot nilai pelaburan berjumlah RM549 juta dalam beberapa syarikat sekutu dan anak syarikatnya.

Laporan itu dibuat selepas Laporan Ketua Audit Negara 2017 mendedahkan TH gagal merekodkan rosot nilai aset berjumlah RM227.81 juta daripada pelaburannya dalam 3 anak syarikat dan 3 syarikat sekutu, termasuk pelaburan RM164.58 juta dalam TH Heavy Engineering Bhd.

“Semasa kami melihat semua laporan daripada PwC, lembaga merasakan kami perlu meneliti perkara ini. Semasa kami menyertai lembaga, walaupun akaun bagi 2017 telahpun selesai, ia belum lagi ditandatangani.

“Lembaga merasakan kami tidak boleh menandatangani akaun menekankan perkara yang disebut ketua audit negara. Atas alasan itu, kami melantik PwC untuk menyemak semula semuanya sekali lagi.”

Tekanan kewangan yang dihadapi TH diburukkan lagi kelemahan pasaran saham pada 2018 yang membawa kepada defisit lebih besar sebanyak RM10 bilion pada 31 Disember 2018 daripada RM4.1 bilion pada tahun sebelumnya, serta pelaksanaan dasar perakaunan baru dalam tahun sama.

“Mengikut dasar perakaunan baru itu, peruntukan tertentu perlu dibuat dalam beberapa pelaburan. Disebabkan itu kami kekurangan sebanyak RM10 bilion.”

Disember 2018, TH dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan menerusi syarikat tujuan khasnya, Urusharta Jamaah Sdn Bhd membeli hartanah dan ekuiti yang tidak mencatatkan prestasi sebagai pertukaran bagi sukuk bernilai RM10 bilion dan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam bernilai RM9.9 bilion.

TH memindahkan aset tidak mencatatkan prestasi bernilai RM19.9 bilion pada akhir tahun lalu kepada syarikat tujuan khas itu sebagai sebahagian pelan penyusunan semulanya.

Dana itu juga mengurangkan pendedahannya dalam ekuiti dengan mengalihkan tumpuannya kepada pendapatan tetap bagi meminimumkan risiko.

Di bawah kepimpinan Zukri, TH berjaya memulihkan lembaran imbangannya selepas beberapa tahun mencatatkan defisit terkumpul yang membawa kepada pembayaran dividen tidak sah kepada pendeposit sejak 2014.

“Tugas terbesar kami buat masa ini adalah bagaimana memulihkan lembaran imbangan TH agar kami dapat membayar, bukan hanya bagi 2018, tetapi juga pada masa depan.”

TH mengumumkan hibah 1.25% kepada pendepositnya bagi tahun kewangan 2018, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM913 juta bagi 9.3 juta pendeposit TH.

Zukri turut menyangkal persepsi beliau menerima tekanan untuk meletak jawatan.

“Ada banyak persepsi dalam pasaran yang kami tidak boleh sekat. Ada yang kata saya tidak tunjuk prestasi – itulah sebabnya kemungkinan mengapa kerajaan menyingkirkan saya dan juga ada persepsi yang Tun Daim (Zainuddin, bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan) hilang sabar dengan apa yang berlaku dalam TH.

“Saya bukanlah nak kata apa, tapi pencapaian saya di Bank Islam juga dipersoalkan. Tetapi anda boleh lihat sendiri bank itu semakin berkembang kukuh.”

Sebelum pelantikannya di TH, Zukri berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif BIMB Holdings Bhd dan pengarah urusan Bank Islam Malaysia Bhd lebih sedekad.

Beliau juga berkhidmat sebagai pengarah eksekutif Khazanah Nasional Bhd dan pengarah urusan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, syarikat pengurusan aset negara yang ditubuhkan kerajaan semasa krisis kewangan 1997/1998 untuk mengambil alih pinjaman tidak berbayar bank.

Apabila ditanya perasaan beliau menamatkan perkhidmatannya pada Hari Merdeka, Zukri berkata: “Inilah yang saya katakan kepada rakan-rakan saya, tahun ini saya sambut Merdeka berganda.” – Bernama

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *