Home » Langit Terbuka » Sebar kasih sayang, bukan kebencian

Sebar kasih sayang, bukan kebencian

Rakyat Malaysia tidak sepatut membiarkan isu remeh atau mana-mana kumpulan kecil yang menyebarkan kebencian kaum, merosakkan negara, kata Chong Wei. - Foto FB

KUALA LUMPUR – Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, mahu rakyat Malaysia menyebarkan kasih sayang dan bukan ‘membunuh’ keunikan kehidupan berbilang kaum Malaysia dengan isu remeh.

Chong Wei, 36, meminta seluruh rakyat Malaysia melihat kembali sejarah ketika skuad badminton negara, yang diketuai Datuk Razif Sidek, memenangi Piala Thomas pada 1992.

Pasukan itu membawa seluruh negara bersama dengan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dalam perlawanan akhir di Stadium Negara, malah rata-rata di kopitiam, kedai mamak dan rumah di seluruh pelosok Malaysia turut meraikan kejayaan istimewa berkenaan.

“Ketika Malaysia memenangi Piala Thomas pada 1992, Pengurus Pasukan, Punch Gunalan; Ketua Pasukan, Razif, Rashid (Sidek) pemain paling hebat; Kok Keong (Foo Kok Keong), seorang pejuang dan Beng Kiang (Soo Beng Kiang) memberikan pukulan smash kemenangan.

“Ia contoh Malaysia yang terbaik, berbilang bangsa. Jangan bunuhnya,” katanya dalam hantaran terkini dalam Facebook beliau sempena Hari Kebangsaan 2019.

Bekas pemain nombor satu dunia yang membuat keputusan menggantung raketnya pada 13 Jun lalu itu berkata, rakyat Malaysia tidak sepatut membiarkan isu remeh atau mana-mana kumpulan kecil yang menyebarkan kebencian kaum, merosakkan negara.

“Kita orang Malaysia lepak sekali, mamak sekali, menjaga antara satu sama lain tanpa mengira kaum. Kita bersorak untuk Malaysia. Adakah kita akan berhenti lakukannya hanya kerana satu suara tidak dikenali?

“Rakyat Malaysia adalah lebih besar daripada itu. Tunjukkan kita jauh lebih teguh daripada semua yang merepek ini. Sebarkan kasih sayang dan bukannya kebencian!” katanya.

Beliau juga mengimbau 2006 pada saingan akhir Terbuka Malaysia ketika berdepan Lin Dan di final dan ketinggalan 13-20, di mana beliau hampir berputus asa dan memikirkan apa yang hendak beliau makan untuk makan malam.

Chong Wei akui ketika itu, beliau penat dan kecewa, namun apabila melihat penyokong, beliau melihat seluruh Malaysia sedang mendoakannya untuk menang, dan itu memberikan beliau semangat untuk terus melawan.

“Saya pandang penyokong. Sokongan padu mereka tidak berkurangan. Kemudian, saya nampak seorang kanak-kanak perempuan Melayu, mungkin berumur lapan tahun, mengangkat kedua-dua tangan sambil menutup matanya. Dia sedang berdoa untuk saya. Di bahagian lain stadium, saya nampak seorang wanita India menangis. Saya tak pasti beliau menangis kerana saya atau tidak, tetapi saya rasakan ya.

“Kemudian di sudut lain, anak rakan saya, seorang kanak-kanak Cina berusia 10 tahun, menjerit nama saya dengan kuat hinggakan pengadil meminta beliau mengurangkan jeritannya.

“Saya tahu saya tidak boleh putus asa. Seluruh Malaysia doakan saya untuk menang. Malaysia yang terdiri daripada kawan, ‘ah ne’ dan ‘heng dai’. Malaysia yang berbilang kaum. Malaysia yang saya makan roti canai untuk sarapan, nasi lemak untuk tengah hari dan char koey tiao untuk makan malam,” katanya.

Chong Wei kemudian melakukan keajaiban dan mengejutkan pemain nombor satu dunia itu untuk beliau memenangi gelaran perseorangan lelaki Terbuka Malaysia buat kali ketiga di Stadium Perpaduan di Kuching.

Walaupun berada pada kedudukan hampir tewas dengan mata 13-20 di set ketiga, Chong Wei yang ketika itu berusia 24 tahun, mengejar semula untuk menang 21-18, 18-21 dan 23-21 dalam masa 70 minit yang penuh mendebarkan.

“Saya mahu anak dan cucu saya ada rakan Melayu serta India. Saya mahu mereka rasa selamat di Malaysia. Saya mahu mereka berjuang demi negara, sebagaimana yang sudah saya lakukan untuk anda semua dekad yang lalu.

“Selamat Hari Jadi, tanah tumpahnya darahku. Kesetiaan kepada Raja dan negara,” tambahnya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *