Home » Langit Terbuka » Pendeposit TH perlu pastikan akaun sentiasa aktif

Pendeposit TH perlu pastikan akaun sentiasa aktif

Tabung Haji memaklumkan adalah penting supaya akaun pendeposit berstatus aktif supaya mereka terus menikmati manfaat menyimpan seperti, simpanan dijamin kerajaan, mendapat agihan keuntungan, zakat dibayar, patuh syariah, dikecualikan cukai dan berpeluang menyertai kempen simpan, daftar dan menang. - Foto The Sun Daily

KUALA LUMPUR – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun akan dikategorikan sebagai tidak aktif atau berstatus dorman.

TH dalam satu kenyataan bagaimanapun, menjelaskan simpanan terdapat dalam akaun dorman masih boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit apabila akaun mereka diaktifkan semula dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi atau pengeluaran wang.

“Adalah penting supaya akaun pendeposit TH berstatus aktif supaya mereka terus menikmati manfaat menyimpan di TH seperti, simpanan dijamin kerajaan, mendapat agihan keuntungan, zakat dibayar, patuh syariah, dikecualikan cukai dan berpeluang menyertai kempen simpan, daftar dan menang.

“Mereka yang ingin mengaktifkan semula akaun, mereka boleh melakukan transaksi di 10,000 ‘touch points’ TH sama ada melalui kaunter, dalam talian dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau mesin deposit tunai (CDM) rakan strategik TH,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, TH sentiasa mengingatkan pendepositnya supaya memastikan status akaun aktif selain mengemaskini maklumat peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris mereka untuk urusan penghantaran surat tawaran haji serta pengurusan akaun.

Sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan (THCC) di 03-62071919. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *