Home » Langit Terbuka » Tak mahu ingat kisah silam, bekas ahli Al-Maunah mulakan hidup baharu

Tak mahu ingat kisah silam, bekas ahli Al-Maunah mulakan hidup baharu

ADUN Ajil ketika menziarahi Awie di rumahnya. - Foto NSTP

HULU TERENGGANU – “Saya tidak mahu lagi mengingati pengalaman lalu dan ingin memberi fokus kepada kehidupan sekarang maklumlah sudah 20 tahun perancangan hidup tertangguh kerana berada di penjara,” kata Awie, 49, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 24, Kuala Berang, pada 5 September.

Awie sepatutnya menjalani hukuman penjara sepanjang hayat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Maunah pada 2000.

Bagaimanapun selepas 20 tahun, anak kelahiran Kuala Berang itu dibebaskan selepas mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63 pada 17 Ogos lalu.

Awie berkata, dia mempunyai kemahiran menjahit dan mengukir yang dipelajari ketika menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang dan Penjara Marang.

“Insya Allah, sekiranya ada peralatan yang mencukupi untuk menjahit atau mengukir dan memperolehi tempahan, saya boleh meneruskan pekerjaan itu di rumah.

“Tetapi sekarang peralatan untuk menjahit dan mengukir pun tiada, oleh itu tidak boleh lagi memulakan pekerjaan berkenaan walaupun sudah ada penduduk yang ingin membuat tempahan mengukir,” katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Prihatin Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Maliaman Kassim ke rumahnya.

Tambahnya, disamping membabitkan diri dengan kegiatan kemahiran itu, dia juga akan menceburi bidang penternakan.

“Alhamdulillah, hasil berkerja sebagai tukang jahit dan pengukir di penjara, saya berjaya menyimpan sedikit wang. Biarpun tidak banyak, tetapi bolehlah digunakan untuk memulakan kegiatan penternakan seperti membina kandang lembu.

“Saya berminat untuk menternak lembu dan boleh memulakannya secara kecil-kecilan dengan menternak dua ekor lembu terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Maliaman berkata, pengalaman Awie termasuk ketika menjalani tahanan di penjara boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat terutama golongan muda.

“Saya merancang mengumpul remaja dan pemuda yang pernah terbabit dengan masalah sosial termasuk jenayah dan penyalahgunaan dadah untuk mendengar perkongsian pengalaman yang pernah dilalui Awie.

“Semoga perkongsian daripada Awie itu akan menjadi pengajaran dan peringatan kepada golongan muda supaya sentiasa patuh kepada undang-undang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan untuk membantu Awie memulakan kehidupan baharu. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *