Home » Langit Terbuka » Penerima zakat bulanan MAIWP disambung automatik

Penerima zakat bulanan MAIWP disambung automatik

Orang ramai yang mempunyai maklumat individu terjejas dan mengalami kesusahan di kawasan Wilayah Persekutuan terutama dalam tempoh PKPB supaya melaporkannya kepada MAIWP. - Foto Arkib YADIM

KUALA LUMPUR – Hampir 5,000 penerima bantuan zakat bulanan yang akan tamat pada Oktober dan November ini, akan disambung secara automatik tanpa perlu hadir ke kaunter untuk proses penyambungan.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam kenyataannya berkata, ia memudahkan penerima Bantuan Zakat Kewangan Bulanan dan Bantuan Zakat Sewa Rumah.

Kenyataan itu berkata, kaunter zakat Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini hingga 27 Oktober depan.

“Kaunter Baitulmal di ibu pejabat di Bangunan PERKIM dan sembilan Pusat Agihan Zakat (PAZA) Baitulmal di sekitar ibu kota beroperasi mulai 8.30 pagi hingga 4 petang bagi urusan berkaitan zakat.

“Kaunter beroperasi pada Isnin hingga Jumaat kecuali PAZA di UTC Pudu dan UTC Keramat yang beroperasi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad,” katanya di sini, pada 14 Oktober.

Katanya, MAIWP akan sentiasa memastikan pematuhan terharap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti penggunaan pelitup muka, penjarakan fizikal dan penggunaan cecair pembasmi kuman semasa berurusan di kaunter.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat individu terjejas dan mengalami kesusahan di kawasan Wilayah Persekutuan terutama dalam tempoh PKPB supaya melaporkannya kepada MAIWP.

Laporan boleh dibuat melalui aplikasi telefon pintar Mobil Jejak Asnaf bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP turun padang membantu mereka yang terjejas. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *