Home » Langit Terbuka » Penetapan fatwa perlu ikut acuan realiti masyarakat

Penetapan fatwa perlu ikut acuan realiti masyarakat

Raja Muda Perlis bertitah, hukum fatwa wajar melihat faktor kebudayaan, perubahan setempat dan zaman kerana tanpa melihatnya serta mengambil ‘bulat-bulat’ nas al-Quran dan al-Sunnah, ia tidak akan mencapai objektif sebenar syariat

PUTRAJAYA – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penentuan hukum fatwa di negara ini perlulah berdasarkan acuan kefahaman realiti masyarakat Malaysia.

Titah baginda, hukum fatwa juga wajar melihat faktor kebudayaan, perubahan setempat dan zaman kerana tanpa melihatnya serta mengambil ‘bulat-bulat’ nas al-Quran dan al-Sunnah, ia tidak akan mencapai objektif sebenar syariat.

Baginda bertitah lagi, dalam memikirkan objektif sesuatu hukum, umat Islam tidak boleh bergantung kepada teks zahir saja.

“Jika tanpa melihat konteks di sebalik nas-nas, maka pincanglah keputusan hukum diperoleh, jauh sekali menyelesaikan masalah dihadapi.

“Banyak perkara bersifat cabang atau bukan prinsip dalam Islam boleh berubah jika tuntutan konteks baharu. Sudah pastilah realiti Malaysia tidak sama dengan negara-negara Arab. Malah zaman juga berubah, tuntutan hari ini tidak sama dengan zaman yang lepas,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berangkat mencemar duli menyempurnakan Seminar Fiqh Al-Waqi’ (Fiqh Realiti) di Malaysia di Kompleks Islam Putrajaya (KIP) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan melancarkan buku bertajuk ‘Melangkah Ke Hadapan’ yang merupakan hasil tulisan Mujahid. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *