Home » Langit Terbuka » Penghakiman MTHQA 61 telus, tak berat sebelah

Penghakiman MTHQA 61 telus, tak berat sebelah

Ketua Pengarah Jakim berkata, para juri untuk pertandingan tilawah berkenaan ditempatkan di bilik berasingan, menjadikannya lebih telus untuk penghakiman. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR – Ketelusan dalam penghakiman Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-61 terjamin menerusi pengasingan juri yang ditempatkan dalam sebuah bilik khas.

Pengerusi Jemaah Hakim MTHQA 61, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, berkata seramai 14 juri ditempatkan di sebuah bilik khas, bukan di hadapan peserta dan hanya mendengar bacaan menerusi audio.

“Ia berbeza dengan penganjuran pertandingan sama di luar negara yang mana peserta membacakan bacaan di hadapan hakim di dewan sama.

“Hakim tidak mengetahui identiti peserta dan ia menjadikan keputusan lebih telus serta tidak memihak kepada mana-mana peserta,” katanya ditemui media di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Nordin berkata, peserta yang menyertai pertandingan tilawah dan hafazan al-Quran itu memberikan persembahan terbaik termasuk dari negara kali pertama menyertainya antaranya dari Montenegro.

“Secara umumnya peserta menunjukkan kesungguhan dan semangat yang tinggi sekali gus mewujudkan persaingan hebat,” katanya.

Katanya, bagi kategori tilawah, barisan juri menetapkan empat aspek dalam menentukan markah iaitu tajwid (35 markah), taranum (25 markah) fasahah (20 markah) dan suara (20 markah).

“Bagi hafazan 30 juz pula, tiga aspek diambil kira iaitu hafazan dan lancar (55 markah), tajwid dan fasahah (35 markah) serta suara, persembahan dan taranum (20 markah),” katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Quba’, Madinah, Dr Al Waleed Khalid Al Shamsan yang bertindak sebagai juri, berkata mereka berdepan tugas berat kerana semua peserta MTHQA 2019 menunjukkan prestasi cemerlang.

“Jurang markah tidak jauh berbeza, ini (persaingan hebat antara peserta) mungkin berlaku kerana hanya 66 individu terbaik bertanding selepas proses saringan yang disertai kira-kira 100 peserta.

“Jadi yang menyertainya semuanya terbaik dan juri berdepan tugas mencabar dalam membuat penghakiman,” katanya.

Bagi seorang lagi juri, Tan Sri Ismail Mohammad, berkata beliau gembira dengan pembabitan lebih ramai peserta muda berusia 25 tahun tampil menyertai pertandingan berkenaan.

“Saya mula menjadi juri untuk pertandingan ini pada 1984 dan dahulunya ramai peserta terdiri daripada orang tua, …tetapi sekarang ramai orang muda menyertainya.

“Ia satu perkembangan positif melihat ramai orang muda tertarik menyertai pertandingan tilawah dan hafazan al-Quran,” katanya yang juga Imam Besar Masjid Negara. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *