Home » Langit Terbuka » Pengkid tular pakai ihram ke Mekah tidak melalui agensi

Pengkid tular pakai ihram ke Mekah tidak melalui agensi

TANGKAP layar daripada media sosial mengenai isu seorang pengkid berpakaian ihram menunaikan umrah di Mekah baru-baru ini. - Foto Arkib

IPOH – Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah (Puhaz) Perak tidak terlibat mengendalikan jemaah umrah wanita yang berperwatakan lelaki atau pengkid ke Tanah Suci dan berpakaian ihram seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Presiden Puhaz, Mohd. Ali Sabri berkata, maklumat awal yang diperoleh, individu tersebut melakukan perbuatan itu tanpa melalui mana-mana syarikat agensi pelancongan.

“Ziarah dengan tidak menggunakan khidmat agensi pelancongan tidak salah, tetapi, risikonya ialah ketika mengerjakan ibadah umrah atau haji tanpa panduan yang betul.

“Untuk itu, umrah mesti dengan syarikat agensi pelancongan supaya ada mutawif yang memberi garis panduan apa yang boleh dilakukan ataupun sebaliknya.

“Ahli-ahli Puhaz yang terdiri daripada syarikat pengendali umrah tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan jemaah umrah kendalian mereka melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama ketika menunaikan umrah.

“Di pihak Puhaz, kita beri peringatan kepada jemaah adalah lebih baik pergi dengan agensi pelancongan kerana ada pemantauan dari sudut hukum. Kalau dari sudut hukum, perempuan dalam keadaan dia pakai ihram menampakkan aurat tak sah dan haram perjalanan tawafnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Ali berkata, perbuatan wanita tersebut bukan sahaja mengakibatkan umrah tidak sah tetapi menghina agama.

“Dia telah menghina agama Islam dan kerana kita tahu apa yang boleh dilakukan atau sebaliknya semasa menunaikan umrah,” katanya.

Terdahulu, seorang  pengguna media sosial berkongsi video berdurasi 17 saat memaparkan seorang wanita memakai ihram merakam dirinya tawaf depan Kaabah dalam Masjidil Haram di Mekah.

Pengguna itu memuat naik video tersebut kerana kesal jemaah wanita itu menipu status jantina ketika berurusan untuk mengerjakan umrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad turut meminta pihak terbabit menyiasat kes tersebut. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *