Pada 31 Julai, Program Pentas Akhir Pidato Celik Madani Peringkat Negeri Pahang 2025 anjuran YADIM Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah Pahang telah berlangsung di Dewan Orchid, BCIC Indera Mahkota, Kuantan.
Program ini menghimpunkan peserta-peserta berbakat dari seluruh Negeri Pahang, melibatkan tiga kategori utama iaitu Sekolah Rendah, Menengah Bawah dan Menengah Atas.
Setiap peserta hadir bersama guru pengiring masing-masing, memberikan sokongan padu sepanjang program berlangsung. Pidato yang dipersembahkan menyentuh pelbagai isu semasa dan nilai murni sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.
Program ini telah dinilai oleh barisan empat orang juri profesional diketuai oleh Ketua Hakim, Encik Ibrohim Mazalan, yang juga merupakan Ahli Majlis Bandaraya Kuantan. Penilaian yang telus dan profesional telah memastikan hanya yang terbaik dipilih sebagai pemenang.
Majlis penutup disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Haji Shaiful Azizi Sukri Mohd Kassim. Dalam ucapannya, beliau memuji keberanian dan kebolehan peserta dalam menyampaikan pidato spontan yang penuh keyakinan serta menyeru agar program seumpama ini diteruskan sebagai platform melahirkan pemimpin muda yang celik isu dan petah berkata-kata. Terlebih dahulu, Pengarah YADIM Negeri Pahang, Ustaz Alwi Muda, telah menyampaikan kata-kata aluan.
Pemenang bagi setiap kategori telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai, sijil dan hamper sebagai penghargaan atas usaha dan bakat luar biasa mereka.
Secara keseluruhan, sambutan terhadap program ini amat menggalakkan, dengan kehadiran peserta, guru, ibu bapa serta pihak pengurusan pendidikan yang memberikan sokongan penuh.



KOMEN