Home » Langit Terbuka » Pentauliahan agamawan, ulama di bawah perkenan raja-raja melayu, bukan kuasa PM

Pentauliahan agamawan, ulama di bawah perkenan raja-raja melayu, bukan kuasa PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat dari dekat replika Masjid Lama Sungai Bakap pada majlis peluncuran pembangunan masjid tersebut di Seberang Perai Selatan hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (kiri). — fotoBERNAMA

NIBONG TEBAL: Pemberian tauliah kepada tokoh agamawan dan ulama Islam di negara ini adalah di bawah perkenan Raja-Raja Melayu dan bukan kuasa Perdana Menteri seperti yang didakwa oleh segelintir pihak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata meskipun Perdana Menteri mempunyai pelbagai kuasa namun dalam soal agama Islam, kuasa itu terletak pada Raja-Raja Melayu.

“Mereka kata sebab Anwar jadi Perdana Menteri, ada orang tak dapat tauliah. Dengar baik-baik. Ada orang akan dapat tauliah dia. Bukan keputusan saya. Ini keputusan Raja-Raja Melayu.

“Saya tidak mencampuri urusan siapa dapat tauliah, siapa tak dapat tauliah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan di sini hari ini.

Anwar berkata keputusan Raja-Raja Melayu adalah tidak mengizinkan masjid menjadi gelanggang politik sebaliknya ia hanya boleh digunakan untuk pendakwahan dan tazkirah.

Anwar berkata beliau sentiasa menghormati keputusan Raja-Raja Melayu walaupun pernah merayu untuk memberikan pentauliahan kepada beberapa ulama.

“Saya kena hormat, Perdana Menteri ini kuasa dia banyak tapi ada juga kuasa Kerajaan Negeri, ada Raja-Raja Melayu yang menetapkan.

“Jadi yang tidak dapat tauliah, kita buat rayuan kepada Raja. Jangan pi (pergi) kecam Perdana Menteri. Hang (awak) tak reti (faham) undang-undang,” katanya.

Beliau juga berkata selain pembangunan masijd, pihak pengurusan premis itu juga harus memberi perhatian kepada kebertanggungjawaban terhadap anggota kariah terutama golongan fakir atau miskin tegar.

Justeru, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI di bawah pimpinan beliau tidak akan bertolak ansur dalam menyelesaikan isu kemiskinan tegar di seluruh negara pada hujung tahun ini.

Sehubungan itu, beliau meminta ketua kampung, penghulu dan jawatankuasa ranting serta cawangan (parti) untuk mengemukakan senarai keluarga miskin tegar kepada Pejabat Pegawai Daerah supaya Pegawai Daerah boleh membantu mereka sekali gus menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

Anwar, yang merupakan anak kelahiran Sungai Bakap, turut mengumumkan peruntukan RM7 juta bagi pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap yang wujud sejak 1798.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap merupakan antara tujuh masjid yang telah  diperuntuk pembiayaan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan jumlah keseluruhan RM18 juta.

Enam lagi ialah Masjid Papan di Seberang Jaya, Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth, Masjid Bandar Raya Seberang Perai, Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal serta Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam. –AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *