Home » Citra Yadim » Penubuhan Sukarelawan Al-Falah galak belia terlibat aktiviti kebajikan

Penubuhan Sukarelawan Al-Falah galak belia terlibat aktiviti kebajikan

SEMPORNA, 29 Mac (Bernama) — Penubuhan Sukarelawan Al-Falah di Semporna dan merupakan pertama di kawasan pantai timur Sabah mampu menggalakkan masyarakat terutama belia di kawasan itu terlibat dalam aktiviti kebajikan, kemanusiaan dan pembangunan pendidikan Islam.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban berkata penubuhan Sukarelawan Al-Falah di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), dapat mendidik dan membentuk golongan anak muda berkualiti dan berani ke arah menegakkan syariah Islam serta memartabatkan bangsa dan negara.
“Kepimpinan Semporna menyokong sepenuhnya penubuhan Sukarelawan Al-Falah kerana kita tahu penaung pertubuhan ini, YADIM merupakan unit berorientasikan kebajikan, disiplin dan kesedaran untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Ramlee yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bugaya berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Sukarelawan Al-Falah di KTPM, di sini, hari ini.
Beliau berkata menjadi aspirasi kerajaan untuk melahirkan pelapis kepimpinan muda Muslim yang bukan sahaja arif mengenai tanggungjawab terhadap agama tetapi turut berjaya dalam bidang lain termasuk aktiviti kesukarelawanan.
“Kerja-kerja dakwah boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk bukan setakat menghulurkan sumbangan, malah berkeperibadian unggul, menuntut ilmu dan berusaha keras juga dakwah yang boleh diamalkan,” katanya.
Beliau berkata menerusi pertubuhan sukarelawan itu juga dapat melahirkan komuniti penggerak muda yang berwibawa kerana program dan latihan yang disediakan adalah sistematik.
“Ini salah satu keprihatinan kerajaan dalam pembangunan modal insan di Semporna iaitu menggalakkan belia terlibat dengan aktiviti berfaedah dan sebagai proses pembangunan diri,” katanya.
Ramlee juga mahu lebih banyak agensi, kolej dan sekolah yang mengikut jejak langkah KPTM dan YADIM dalam menubuhkan Sukarelawan Al-Falah.
“Langkah ini menjadi platform bagi golongan belia menyediakan diri sebagai pemimpin masa hadapan yang berintegriti serta memiliki wawasan berlandaskan syariah dan kemanusiaan sejagat,” katanya.
Pada majlis itu, Ramlee turut menyumbangkan RM5,000 kepada pertubuhan berkenaan sebagai langkah awal bagi memulakan gerak kerja sukarelawan.
— BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *