Home » Citra Yadim » Program bantuan perubatan di pedalaman

Program bantuan perubatan di pedalaman

KUCHING 12 April – Di sebalik arus kemodenan di negara ini, masih ada pihak yang tinggal jauh di kawasan pedalaman dan memerlukan bantuan dan perhatian akibat kekurangan dalam beberapa aspek disebabkan jarak penempatan mereka yang jauh.
Penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak misalnya, perlu sentiasa didekati dan diberikan bantuan agar mereka tidak terpinggir daripada arus kemodenan.
Selain itu mereka juga perlu sentiasa didekati terutama dalam menyampaikan dakwah secara berterusan agar mereka tidak ketinggalan dalam mendapatkan ilmu-ilmu agama.
Dalam mendekati penduduk di kawasan pedalaman ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak telah berkolaborasi dengan pelbagai pihak di negeri berkenaan menganjurkan program bantuan perubatan di pedalaman.
Pengurus Eksekutif YADIM Zon Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat berkata, program berkenaan telah diadakan pada 1 April di Kampung Tegageng Niah dengan melibatkan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sukarelawan Al-Falah Miri, Yayasan Ikhlas Sarawak, Isma dan I-Medic.
“Program ini diadakan sebuah penempatan kaum Penan dan kawasan ini sememangnya amat jauh kerana melibatkan perjalanan memakan masa 13 jam dari Kuching atau sejauh 950 kilometer,’’ katanya.
Melalui program berkenaan, katanya, ternyata penduduk kampong amat menghargai usaha dakwah yang dilaksanakan sehingga mereka begitu terharu kerana menerima pelbagai bantuan dalam pelbagai bentuk sama ada material, perubatan mahupun ilmu agama.
Beliau berkata, Ketua Kampung Tegageng, Yusuf Abdullah dalam ucapannya melahirkan rasa terharunya di atas keprihatinan yang ditunjukkan sehingga menitiskan air mata semasa menyampaikan ucapannya.
“Ketua Kampung Tegageng begitu bersyukur kerana YADIM telah menempatkan seorang daie di kampung berkenaan iaitu Nurul Muiz Abdul Razak bagi membimbing para penduduk mengenai agama Islam,’’ katanya.
Selain daripada itu, jelasnya, pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program berlangsung termasuk sesi Pemeriksaan kesihatan percuma oleh I-Medic dan Yayasan ikhlas, tazkirah agama oleh Jakim, cabutan bertuah oleh ISMA dan penyerahan sumbangan wakaf untuk peralatan surau melalui Sukarelawan Al-Falah YADIM.

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *