Home » Citra Yadim » Penyerahan telaga tiub Kampung Gayau

Penyerahan telaga tiub Kampung Gayau

ADUN Balai Ringin (tiga dari kanan) melakukan gimik memotong riben pada Majlis Serahan Projek Water For Life 1.0 di Kampung Gayau.

PANTU – Empat bulan selepas kerja penggalian bermula, penduduk di Kampung Gayau di sini, secara rasminya hari ini (26 Mac 2018) mempunyai bekalan air bersih secara tetap hasil usaha Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Yayasan Amal Malaysia

Majlis penyerahan telaga tiub berkenaan yang mula digali pada November lepas, telah dirasmikan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak merangkap  Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Balai Ringin, YB Datuk Snowdan Lawan dalam majlis Serahan Projek Water For Life 1.0 di sini.

Projek berkenaan memanfaatkan kira kira 250 penduduk di kawasan tersebut yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada  sebatang sungai yang terletak kira kira 600 meter dari perkampungan ini pada musim kemarau.

Dalam ucapannya, Pengarah YADIM Zon Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat berkata, telaga tiub berkenaan disasarkan penggunaannya oleh bukan sahaja untuk penduduk Muslim, malah juga bukan Muslim.

“Walaupun terletak di surau, apabila menghadapi masalah air, bawalah baldi, amnillah air, tiada masalah, memang ia untuk kegunaan masyarakat, “ katanya pada majlis tersebut.

Hadir sama ialah Tuai Rumah, Abdul Talib Abdullah, Pengurus Besar Yayasan Amal Malaysia, Salleh Farmin, Pengarah Bahagian Pelaburan dan Penajaan YADIM, Abi Said Al Khudri Hussin, Pengarah Bahagian Pembangunan Ummah YADIM, Normawati Muhammad, Penyelaras Projek Water For Life 1.0 YADIM, Mohd Firdaus Mohd Rusli serta pegawai dan kakitangan YADIM Sarawak.

Water For Life 1.0 merupakan usahasama YADIM dan Yayasan Amal Malaysia yang menyasarkan untuk membekalkan air bersih kepada penduduk di Kampung Gayau, terutamanya pada musim kemarau seperti sekarang.

Meskipun berdepan pelbagai kesukaran, termasuklah kerosakan alatan menggali, pasukan tetap optimis akan menemui air di kawasan ini.

Yayasan Amal Malaysia menghantar empat tenaga kerja termasuk seorang pakar telaga tiub yang sebelum ini mempunyai banyak pengalaman menggali telaga seumpamanya di beberapa kawasan termasuklah di Kemboja dan Sudan.

Kerja penggalian berjaya menemui air pada 1 Mac lalu, pada kedalamaan 35 kaki selepas melakukan sebanyak 10 percubaan.

Sebelum melakukan penyerahan, penduduk kampung telah diberi latihan asas menyelenggara pam air telaga ini, untuk memudahkan mereka menguruskannya kelak.

Usaha di Kampung Gayau ini merupakan perintis kepada beberapa lagi projek membekalkan air bersih yang dalam perencanaan YADIM untuk dilaksanakan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *