Home » Langit Terbuka » Perak benarkan solat berjemaah 40 orang

Perak benarkan solat berjemaah 40 orang

Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah terkini pelaksanaan solat Jumaat serta solat berjemaah kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau. - Foto Bebas News

IPOH – Semua masjid dan surau di Perak dibenarkan menerima jemaah seramai 40 orang bagi solat fardu dan solat Jumaat mulai esok.

Perkara itu selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin setelah menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan setelah merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, mulai solat Subuh esok, solat berjemaah pada setiap solat fardu dibenarkan untuk diadakan di semua masjid dan surau di Perak.

“Bilangan ahli jemaah melaksanakan solat berjemaah pada setiap solat fardu di masjid dan surau hendaklah tidak melebihi 40 orang, tidak termasuk pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah.

“Ahli jemaah yang dibenarkan hadir untuk bersolat jemaah, pada masa ini hanyalah dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada 10 Jun

Beliau berkata, syarat sama turut terpakai untuk solat Jumaat di semua masjid dan surau diri Jumaat di negeri ini.

Katanya, identiti jemaah yang datang untuk bersolat jemaah hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahrul Azam berkata, penggunaan masjid, surau diri Jumaat dan surau untuk pelaksanaan solat Jumaat serta solat berjemaah pada setiap solat fardu hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan.

Jelasnya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah terkini pelaksanaan solat Jumaat serta solat berjemaah pada setiap solat fardu kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri ini.

Menurutnya, JAIPk juga akan menyelia kaedah pelaksanaan tersebut dan memastikan garis panduan tersebut dipatuhi. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *