Home » Langit Terbuka » Peralihan Kuasa PRU14 Kejayaan Sistem Demokrasi Liberal

Peralihan Kuasa PRU14 Kejayaan Sistem Demokrasi Liberal

Mungkinkah demokrasi liberal sedang diIslamisasikan di Malaysia?

BANGI – Peralihan kuasa selepas PRU14 lalu adalah contoh praktikal kejayaan sistem demokrasi liberal dalam negara di mana Islam adalah agama Persekutuan, kata pendakwah bebas, Ustaz Abdul Naser Abdul Rahman.

Beliau berkata, Malaysia telah menerima sistem kerajaan berlandaskan falsafah demokrasi Barat iaitu demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Islamis abad 20 yang tidak taasub kepada Barat secara kasarnya terbahagi dua: Pertama, yang tolak sistem Barat secara mutlak dan ingin kembalikan sistem khilafah dan kedua, yang tidak tolak secara mutlak tapi menyertai sistem demokrasi liberal untuk mengubah sistem dari dalam.

“Masalah besar timbul kerana sistem demokrasi Barat berkait rapat dengan satu lagi sistem Barat iaitu konsep negara (Nation State) atau Nasionalisme yang berjaya pecah dan perintah (divide and rule) umat Islam,” katanya.

Katanya, sistem demokrasi di dunia moden juga telah banyak kali membawa kepada pertumpahan darah seperti Revolusi Perancis.

“Tetapi siapa sangka bahawa Malaysia menjadi negara misali bagi sistem demokrasi liberal,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.

Abdul Naser yang lebih dikenali sebagai Xifu Naser berkata, muslim demokrat melihat demokrasi sebagai platform di mana rakyat dan pemimpin boleh berbincang untuk mencapai konsensus supaya keputusan yang dibuat adalah terbaik.

“Maknanya pemimpin dan rakyat sama-sama rasa bertanggungjawab dalam membuat keputusan. Konsensus dan tanggungjawab kolektif ini amat dirasai dalam pelancaran Tabung Harapan Malaysia.

“Kita lihat rakyat marhaen, pemimpin-pemimpin politik dan hatta Agong sekali sama-sama berusaha menyumbang duit masing-masing demi menjelaskan hutang negara,” katanya.

Selain itu beliau berkata, muslim demokrat juga berusaha menonjolkan maqasid insaniyyah.

“Contohnya, perbincangan maqasid syariah tentang hifz ad-din biasanya tentang amanah menjaga agama Islam. Tetapi perbincangan maqasid insaniyyah adalah tentang amanah menjaga kerohanian.

“Setiap manusia, walaupun berbeza agama, memiliki dimensi rohani yang wajib dijaga supaya menjadi rakyat yang baik. Maka, Rukun Negara yang pertama adalah Kepercayaan Kepada Tuhan.

“Seorang Muslim Demokrat akan meletakkan kepercayaan kepada Tuhan dalam perjuangan demokrasinya dan menentang ateisme dan sebarang bentuk usaha yang mengetepikan ketuhanan. Mungkinkah Liberal Demokrasi sedang diIslamisasikan di Malaysia?,” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *