Home » Persuasif » Perbalahan golongan agamawan

Perbalahan golongan agamawan

Perpaduan umat Islam musnah

OLEH HISYAMUDDIN AYUB

PUNCA perpaduan umat Islam rosak dan berpecah adalah akibat daripada perbalahan ‘orang kuat’ yang berada di dalamnya.

Tatkala mendengar ayat tersebut, neuron-neuron di dalam otak kecil penulis mula menganalisis ungkapan yang diluahkan oleh individu hebat dari bumi Negeri Di Bawah Bayu semasa Perhimpunan Agamawan Kebangsaan anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN), baru-baru ini.

Kata-kata yang keluar daripada Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar tersebut memang ada benarnya. Berpunca daripada kesalahan agamawan Islam sendiri yang seringkali bertelagah dalam meletak dan mentafsir hukum berhubung maslahah serta isu baharu timbul dalam masyarakat, maka akan berlakulah lagi keretakan dalam perpaduan umat Islam.

Setiap kali golongan agamawan berselisih faham dan lebih teruk berlakunya pertelagahan, akibatnya terus terkesan kepada keretakan hubungan umat Islam.

Ketika mana kumpulan-kumpulan agamawan tertentu tetap mahu berpegang kepada pendirian masing-masing, maka tercetuslah perbalahan yang melarat dan terbawa sehingga kepada orang ramai.

Tidak salah untuk berbeza pendapat, namun perbezaan tersebut tidak perlu dihebahkan kepada umum. Perkara seumpama itu dikhuatiri akan menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat yang mahu mencari kebenaran, seterusnya mengundang kepada perpecahan yang lebih besar umat Islam.

Bukan itu sahaja, terdapat juga setengah golongan agamawan yang berebut-rebut menyatakan pendirian apabila timbulnya sesuatu permasalahan baharu menerusi media, sekali gus mengetepikan perlunya perbincangan secara lebih mendalam.

Mufti Sabah itu berkata, suatu perkara mustahak untuk memilih satu mazhab yang mahu diguna pakai dan menjadi rujukan di dalam sebuah negara, namun tidak salah untuk menggunakan pandangan mazhab-mazhab lain sebagai panduan dalam melakukan amalan harian.

Secara rasmi, jelas beliau, menjadi satu kepentingan kepada umat Islam di sesebuah negara untuk mengikuti mazhab yang sama dan adanya penyatuan mazhab.

“Masalah timbul apabila kita sendiri menafikan kebebasan dan terhad dalam mentafsir. Kita seharusnya kembali kepada perkara asas dalam Islam. Berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunah,” katanya.

Perhimpunan Agamawan Kebangsaan anjuran MDN itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Persatuan Ulama Malaysia dan Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad.

Seramai 272 peserta agamawan yang terdiri daripada pelbagai bidang hadir dalam perhimpunan tersebut yang dipengerusikan oleh Ahli Jawatankuasa Induk MDN, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz.

Sementara itu, Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin turut senada dengan Mufti Sabah apabila menyarankan agar golongan agamawan untuk tidak mudah mengeluarkan kenyataan terutama dalam menetapkan sesuatu hukum berhubung perkara baharu yang timbul.

Tegas beliau, tindakan sesetengah agamawan yang suka mengeluarkan kenyataan di media tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Majlis Ulama Kebangsaan merupakan tindakan tidak tepat, malah tidak menunjukkan ada kesepakatan dalam menentukan hukum di negara ini.

“Akan berlaku percanggahan pendapat dalam meletakkan hukum. Tindakan seumpama itu akan membuatkan orang ramai terpinga-pinga dan tidak tahu mana yang perlu diikuti apabila ramai golongan agamawan membuat kenyataan sendiri,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, golongan agamawan seharusnya memberi contoh dan teladan terbaik kepada orang ramai, sekali gus mampu membentuk perpaduan utuh umat Islam dalam menghadapi pelbagai ancaman musuh pada masa ini.

– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *