Home » Citra Yadim » Perdana Menteri Hadiri Program Mawlid Akbar

Perdana Menteri Hadiri Program Mawlid Akbar

PULAU PINANG – Program YADIM Sejahtera: Mawlid Akbar telah dianjurkan bersempena Majlis Tadabbur Mushaf Malaysia MADANI pada 28 Ogos sebagai salah satu inisiatif dalam memperkukuh penghayatan terhadap ajaran Islam, mempererat hubungan masyarakat serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Program bermula dengan ketibaan tetamu jemputan dan orang awam, diikuti dengan ketibaan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta YAB Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Solat Isyak secara berjemaah sebelum para tetamu dan peserta mengambil tempat di pentas utama.

Majlis diserikan dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan UNIC serta persembahan qasidah oleh Kumpulan Ar-Rayyān.

Pengisian majlis turut merangkumi beberapa sesi penyampaian tausiyah yang disampaikan oleh tokoh dan pendakwah, antaranya Tuan Guru Haji Abdul Rahim Abdul Rahman, Pondok Sungai Janggus, serta tokoh agama Negeri Pulau Pinang.

Kemuncak program adalah amanat dan ucapan YAB Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim yang menekankan kepentingan membina persefahaman, keharmonian dan kerjasama antara masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Penekanan turut diberikan kepada peranan generasi muda dalam memelihara perpaduan, menghormati kepelbagaian serta menyemarakkan semangat patriotisme dan menghargai kemerdekaan negara.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini telah memberikan ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama menghayati pengisian keagamaan dan nilai-nilai murni, di samping memperkukuh ukhuwah, perpaduan dan keharmonian masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Program turut mencerminkan komitmen YADIM dan agensi-agensi berkaitan akan terus memperluas pendekatan dakwah yang inklusif serta mendekati masyarakat melalui program berbentuk keagamaan, kemasyarakatan dan kenegaraan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *