Home » Langit Terbuka » Perhimpunan selamatkan Baitulmaqdis Jumaat ini

Perhimpunan selamatkan Baitulmaqdis Jumaat ini

KUALA LUMPUR 20 Dis – Rakyat Malaysia yang mahu menzahirkan ketulusan mereka membantu penduduk Palestin diundang menyertai perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis, di Putrajaya Jumaat ini, dengan memakai baju putih.

Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata tidak kurang daripada 10,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli parti politik akan menyertai pertemuan di Dataran Putra itu.

Beliau berkata, perhimpunan berkenaan menggabungkan NGO daripada pelbagai agama dan kaum serta wakil parti pembangkang.

“Pemindahan Kedutaaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis bukan isu orang Islam saja kerana bandar ini juga tanah suci kepada penganut Kristian dan juga orang Yahudi.

“Orang ramai dari semua kaum diundang datang ke Dataran Putra di Putrajaya selepas solat Jumaat dengan berbaju putih bagi menggambarkan ketulusan hati rakyat Malaysia dalam membantu isu Baitulmaqdis,” katanya selepas taklimat media di sini, hari ini.

Ahmad Masrizal berkata, kemuncak perhimpunan ialah ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan menyatakan secara jelas pendirian Malaysia dalam isu Baitulmaqdis.

Selain itu, katanya, Presiden PAS yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga akan menyampaikan ucapan.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri yang Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula akan menandatangani kain pemidang bersama-sama Najib dan Abdul Hadi sebagai bantahan kepada pemindahan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis.

“Perhimpunan itu bermula dengan forum di dalam Masjid Putra oleh lima wakil parti pembangkang dan NGO dengan Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebagai pengacara,” katanya.

Katanya, ahli panel lain ialah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili PAS, Datuk Saifuddin Nasution mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Mujahid Yusuf dari Parti Amanah Negara (PAN), Kamarudin Md Noor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr Yusri Muhammad.

Beliau berkata, khutbah Jumaat Masjid Putra mengenai Baitulmaqdis pula akan disampaikan sendiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *