Home » Langit Terbuka » OIC perlu diperkasa bagi lindungi hak umat Islam

OIC perlu diperkasa bagi lindungi hak umat Islam

SHAH ALAM 20 Dis – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu diperkasakan supaya mampu menjadi sebuah pertubuhan yang digeruni oleh semua pihak bagi melindungi hak, kepentingan dan keselamatan umat Islam di seluruh dunia.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, perkara itu boleh dilaksanakan dengan mudah sekiranya semua negara Islam yang menganggotai pertubuhan itu bersatu.

“Pelbagai masalah yang menimpa umat Islam seperti konflik berpanjangan antara Palestin dan Israel, penghapusan etnik Rohingya di Myanmar, ancaman peperangan dan masalah pelarian di Timur Tengah dan sebagainya menunjukkan bahawa OIC tidak berupaya menyelesaikan isu yang melibatkan kepentingan umat Islam.

“Lebih menyedihkan, apabila OIC sering menjadi bahan gurauan sesetengah pihak sebagai ‘Oh I see’ (oh saya lihat) kerana hanya mampu mengadakan persidangan, duduk berbincang serta mengeluarkan kenyataan atau deklarasi,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, OIC perlu melihat semula peranan sepatutnya dimainkan untuk melindungi umat Islam serta mempertahankan maruah dan kesucian agama Islam itu sendiri.

“Struktur pentadbiran dan agensi yang ada di bawah pertubuhan OIC perlu dinilai semula bagi memberi ruang kepada pertubuhan itu bergerak dengan lebih aktif lagi.

“Langkah yang boleh diambil dengan menubuhkan angkatan tentera dan majlis keselamatannya sendiri serta mewujudkan pelbagai jenis agensi  yang boleh beri fokus terhadap kebajikan dan kesejahteraan umat Islam,” ujarnya.

Katanya, bagi merealisasikan kesatuan ini, semua negara Islam di seluruh dunia perlu ketepikan segala perbalahan dan perbezaan pendapat di peringkat antarabangsa.- SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *