Home » Langit Terbuka » Periksa Sekolah Tahfiz Bukan Untuk Menghukum

Periksa Sekolah Tahfiz Bukan Untuk Menghukum

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto Berita Harian

IPOH: Tindakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemeriksaan di semua 146 pusat tahfiz di Perak bukan bertujuan menghukum pengusaha sekolah berkenaan, sebaliknya bertujuan memastikan keselamatan menyeluruh premis terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pemeriksaan itu sebenarnya dilakukan atas arahan kerajaan negeri bertujuan untuk memastikan tahap keselamatan di premis terbabit mengikut piawaian ditetapkan.

“Tindakan pemeriksaan JBPM bukan untuk menghukum atau mengenakan denda kepada sekolah tahfiz, sebaliknya lebih kepada usaha membimbing pihak pengurusan sekolah itu mengenai ciri keselamatan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di sini, hari ini.

Zambry mengulas kenyataan Pengarah JBPM negeri, Datuk Yahaya Madis, semalam, bahawa lebih 50 peratus daripada 146 pusat tahfiz yang diperiksa pasukan itu tahun lalu didapati tidak selamat.

Yahaya dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan mendapati hampir separuh pusat tahfiz berkenaan tidak mematuhi kehendak pendawaian dan laluan keluar masuk dengan 136 premis masih beroperasi, manakala selebihnya ditutup.

Zambry berkata, ia bukan sesuatu yang mengejutkan atau luar biasa kerana tindakan pemeriksaan itu dibuat atas arahan kerajaan.

Beliau berkata, pasukan berkenaan akan mendidik pihak pengurusan sekolah berkenaan kerana ada kalangan mereka yang sebenarnya tidak mengetahui peraturan atau piawaian keselamatan yang ditetapkan dalam sesuatu bangunan atau premis.

Sementara itu, Zambry berkata, setakat ini Perak tidak menghadapi masalah atau sebarang isu berkaitan tabiat membuang sampah atau barangan dari tingkat atas dalam kalangan penghuni kediaman rumah pangsa atau pangsapuri.

Katanya, ia kerana tidak banyak rumah jenis berkenaan di negeri itu, termasuk di Ipoh berbanding di bandar raya lain.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri sudah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian melempar kerusi dari tingkat atas rumah pangsa sehingga meragut nyawa seorang remaja yang berlaku di ibu negara, baru-baru ini, tidak terjadi di Perak. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Diyat sebagai instrumen keadilan syariah

Diyat merupakan satu bentuk pampasan kewangan dalam sistem perundangan Islam yang diberikan kepada waris mangsa sebagai ganti rugi atas kehilangan nyawa atau

Ujian di bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu. Ujiannya memang berat dan payah sekali. Daripada keseluruhan umat Islam yang menyertainya, barangkali

3 Tingkatan Puasa

Imam Ghazali RA dalam kitab Ihya Ulumuddin telah mengkategorikan puasa kepada 3 peringkat iaitu: 1. As-Saumul umum – puasa umum. 2. As-Saumul

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *