Home » Citra Yadim » Perkaderan, Penerbitan, MAWAR cadangan kerjasama YADIM – MUI

Perkaderan, Penerbitan, MAWAR cadangan kerjasama YADIM – MUI

PUTRAJAYA – Usahasama melibatkan perkaderan, penerbitan dan Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) adalah antara cadangan kerjasama awal yang boleh diterokai antara Yayasan Dakwah islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Ulama Indonesia (MUI) kawasan Agam.

Cadangan ini timbul dalam perbincangan antara kedua pihak ini dalam lawatan MUI Agam ke ibu pejabat YADIM di sini pada 25 Oktober.

Agam merupakan sebuah kawasan yang terletak di wilayah Barat Sumatera, Indonesia.

Seramai 17 orang delegasi berkenaan diketuai  Ketua Umum MUI Agam, Drs.Hj. Fauzi Damrah meluangkan masa lebih sejam di YADIM bertemu kepimpinan badan ini  yang diwakili oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Y.Bhg Dato Datuk Wira Ustaz Abdul Ghani Samsudin dan Y.Brs. Dr. Muhamad Razak Idris, Pengarah Kanan Sektor Penyelidikan, Penerbitan dan Antarabangsa, Dr Masitah Esa, Pengarah di Pejabat Yang Dipertua, Mohamad Yaakub Idris , serta Pengarah Bahagian Hubungan Antarabangsa, Norazira Jaafar.

Hadir sama ialah Ketua Penerbitan Al Quran Kumpulan Karangkraft, Ahmad Yani Abd Manaf, selaku rakan strategik YADIM.

Dalam perbincangan kedua pihak, wakil Pondok Pesantren Buya Hamka (yang terletak di kawasan Agam), Drs. Zainul Arifin, menyatakan minat untuk meletakkan tenaga pendakwah muda pihaknya bagi menjalani latihan dengan YADIM.

Menurutnya, adalah menjadi harapan besar pihaknya untuk cadangan kerjasama ini direalisasikan kelak.

“Ia peluang yang sangat baik, dengan menjalani latihan di YADIM, kami dapat ambil kelebihan sisi dakwah Malaysia untuk manfaatkan di Agam dan Indonesia.

“Sekiranya dapat dilaksanakan, pendakwah muda yang selesai menjalani latihan di YADIM ini kelak akan berfungsi sebagai fasilitator kepada rakan rakan mereka di pondok pesantren kami,’ujarnya.

Selain latihan, Zainul turut melihat potensi kerjasama dalam bidang penerbitan dengan YADIM. Beliau memberitahu, terdapat ramai personaliti agama di Sumatera dan Agam yang mempunyai kredibiliti setaraf dengan ulama terkenal Indonesia, Hamka, namun mereka kurang diberi pendedahan terutamanya dalam bentuk penulisan.

“Seorang lagi contoh ialah Syaikh Ahmad Khathib Al-Minangkabawi, saya lihat jika Bahagian Penerbitan YADIM boleh terbitkan bibliografi tentang beliau, itu akan jadi satu sumber rujukan ilmiah yang sangat besar nilainya.

“Selain itu ramai lagi tokoh agama di Agam dan Sumatera yang sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan Malaysia,” jelas beliau.

Razak dalam reaksinya menyambut baik cadangan cadangan dari MUI sambil memberitahu, YADIM sememangnya mempunyai Institut Latihan Dakwah Yadim (ILDAN) di Semungkis, Hulu Langat dengan kemudahan sesuai bagi tujuan melahirkan pendakwah muda.

“Kita boleh latih selama satu atau dua bulan di ILDAN, kemudian di lapangan, tidak semestinya di YADIM, mungkin boleh kerjasama dengan Sinar Harian (akhbar Kumpulan Karangkraft) kerana pengetahuan bidang media dalam berdakwah hari ini penting,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan kerjasama antara MUI Agam dengan MAWAR, memandangkan pertubuhan tersebut sememangnya aktif mengangkat isu isu wanita di negara ini.

Jalinan kerjasama dengan MUI Agam adalah peluang untuk melebarkan sayap MAWAR ke Indonesia pula, jelas beliau.

Terdahulu, Fauzi memberitahu, YADIM sememangnya dikenali di Indonesia sebagai penggerak usaha dakwah yang proaktif.

“Kisah kisah usaha dakwah YADIM disebarkan oleh perantau dari Minangkabau, justeru hari ini kami datang untuk mendengar sendiri dan melihat peluang kerjasama yang boleh dijalin,”jelasnya.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *