Home » Langit Terbuka » Perkasa institusi zakat, wakaf agar kekal relevan

Perkasa institusi zakat, wakaf agar kekal relevan

Sambutan BZK 2021 merupakan program tahunan JAWHAR yang telah dianjurkan sejak 2008 dan tema dipilih pada tahun ini ialah ZakatPrihatin: Muzakki, Cakna, Asnaf Merasa. - Foto JAWHAR

PUTRAJAYA – Institusi zakat dan wakaf di negara ini perlu diperkasa bagi memastikan perananya kekal relevan dari sudut keberkesanan sistem penyampaian dan ijtihad hukum ketika berhadapan cabaran baharu pasca Covid-19.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, tanpa menafikan usaha dan keringat yang dicurahkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan agensi mengurus zakat, beliau berpandangan perubahan pendekatan agihan zakat perlu dilakukan bermula daripada proses permohonan sehingga penawaran agar menepati prinsip maqasid syariah.

 

Menurutnya, perkara ini wajar dijadikan wadah perbincangan yang menjurus kepada usaha bagi meningkatkan keberdayaan pihak Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), MAIN dan agensi mengurus zakat agar bergerak seiring dengan tuntutan semasa dalam menangani masalah sosioekonomi ummah.

 

Katanya, terdapat pelbagai pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan selagi mana masih berada dalam kerangka syarak.

 

“Peranan institusi zakat telah membuka mata banyak pihak yang sebelum ini melemparkan tohmahan serta memperleceh keberadaan institusi ini mengurus zakat, khususnya dalam agenda membantu masyarakat yang terjejas akibat Covid-19 yang secara tidak langsung menunjukkan keyakinan masyarakat bahawa institusi zakat yang kukuh mampu berperanan untuk menegakkan keadilan sosial,” katanya ketika merasmikan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan (BZK) 2021 secara maya, hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Selamat Paigo.

 

Sambutan BZK 2021 merupakan program tahunan JAWHAR yang telah dianjurkan sejak 2008 dan tema dipilih pada tahun ini ialah ZakatPrihatin: Muzakki, Cakna, Asnaf Merasa.

 

Idris berkata, pada hematnyatema sambutan BZK kali ini dilihat senada dengan konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan menggariskan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

 

Menurutnya,dalam konteks pengurusan zakat beliau percaya tiga teras itu sememangnya menjadi tunjang kepada amalan operasi agensi di bawahnya danmengimpikan usaha-usaha pembinaan Keluarga Malaysia yang sejahtera serta berganding bahu memulihkan negara daripada impak pandemik Covid-19.

 

Katanya, agensi zakat harus meneruskan usaha agresif turun ke lapangan bagi mencari para asnaf serta memanfaatkan teknologi semasa khususnya media sosial bagi memaklumkan segala usaha yang diadakan MAIN dan agensi mengurus zakat dalam membantu golongan berkenaan. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *