Home » Langit Terbuka » Perlis benar warga emas solat berjemaah mulai Sabtu

Perlis benar warga emas solat berjemaah mulai Sabtu

Kebenaran warga emas menunaikan solat di masjid itu diberikan setelah mengambil kira keadaan dan suasana terkini fasa pemulihan penularan COVID-19 serta pengekalan 72 hari tanpa penambahan kes positif baharu sejak 7 April di negeri itu. - Foto Sinar Harian

KANGAR – Perlis memberi kelonggaran jemaah berumur 60 tahun ke atas menunaikan solat Jumaat dan solat lima waktu bermula Sabtu ini (20 Jun).

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) itu dibuat setelah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

“Setelah mengambil kira keadaan dan suasana terkini fasa pemulihan penularan pandemik COVID-19 serta pengekalan 72 hari tanpa penambahan kes positif baharu sejak 7 April di negeri Perlis, makabaginda (Raja Perlis) berkenan memberi kelonggaran,” titah baginda menerusi satu kenyataan malam ini.

Baginda bertitah selain itu, kelonggaran turut diberikan kepada pesakit kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya dengan syarat sihat tubuh badan.

“Memandangkan kelonggaran tersebut, maka SOP jarakan sosial dua meter dikekalkan namun pengurangan jarak bakal dipertimbangkan secara berperingkat,” titah baginda.

Titah baginda, kuliah maghrib dan subuh dibenar untuk dilaksanakan seminggu sekali selama 30 minit oleh guru takmir yang akan diselaraskan pelaksanaannya oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pemakaian kebenaran ini adalah terhad kepada masjid di seluruh negeri Perlis sahaja dan tidak melibatkan surau.

“Sebagai manusia, kita hendaklah sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT dan janganlah mudah alpa serta hendaklah bersiap siaga menghindari ujian ini daripada berulang mendatangi kita. Semoga segala usaha dan ikhtiar kita diperkenankan oleh Allah SWT,” titah baginda.

— BERNAMA

Artikel Berkaitan

Pengurusan Nafkah Dalam Keluarga

Secara prinsipnya, fitrah kewajipan memberikan nafkah merupakan tanggungjawab suami sehingga wajib bekerja dengan baik melalui usaha yang halal dan wanita sebagai kaum

Program Penghayatan Israk Mikraj

YADIM telah terlibat sama menyantuni komuniti Jabatan Penjara Negeri Pahang menerusi program Bicara Dakwah Madani Israk dan Mikraj pada 26 Januari. Pengarah

Analisis solat dan kesihatan

Otot Profesor Ir. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *