Home » Langit Terbuka » Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong telah dibuka

Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong telah dibuka

JPA memberitahu, antara syarat kelayakan secara khusus bagi permohonan biasiswa itu adalah warga Malaysia, berumur tidak lebih 35 tahun pada tahun memulakan pengajian dan calon yang mahir dalam lebih daripada satu bahasa antarabangsa. - Foto Iluminasi.com

PUTRAJAYA – Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong untuk sesi pengajian 2019/2020 telah dibuka bermula sekarang sehingga 15 Mac ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan, rakyat Malaysia yang berminat boleh memohon secara atas talian iaitu menerusi laman https://esilav2.jpa.gov.my.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 12 biasiswa ditawarkan iaitu enam di peringkat sarjana manakala enam lagi untuk Doktor Falsafah (Ph.D) dan bagi mereka yang mengikut pengajian dalam bidang sains dan teknologi, ekonomi, undang-undang dan kewangan Islam.

“Keutamaan diberikan kepada calon yang mendapat keputusan akademik amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat ijazah sarjana muda atau sarjana.

“Selain itu, keutamaan juga diberikan kepada mereka mempunyai keupayaan luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa, kebolehan istimewa, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif serta telah mendapat tawaran memulakan pengajian di universiti penyelidikan tempatan atau di universiti terkemuka di dunia yang diktiraf JPA,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

JPA menambah, antara syarat kelayakan secara khusus bagi permohonan biasiswa itu adalah warga Malaysia, berumur tidak lebih 35 tahun pada tahun memulakan pengajian dan calon yang mahir dalam lebih daripada satu bahasa antarabangsa.

“Calon-calon yang layak dan berjaya kemudian disenarai pendek dan akan melalui proses pemilihan termasuk temuduga,” kata kenyataan itu.

Kenyataan menambah, penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong adalah terikat untuk berkhidmat di Malaysia dalam tempoh tidak kurang dari lima tahun dan bagi mereka telah menamatkan pengajian di luar negara, diwajibkan pulang ke tanah air selepas tamat tempoh tajaan.

“Sebarang maklumat lanjut mengenai penawaran ini, sila layari portal https://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03-8885 3546/ 3053/ 3438 pada setiap hari bekerja mulai pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel ke ldp@jpa.gov.my,” ujar kenyataan itu. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *