Home » Langit Terbuka » Pernah dilabel negatif, kini #QuranHour sasar 1 bilion tontonan

Pernah dilabel negatif, kini #QuranHour sasar 1 bilion tontonan

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacob 

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Untuk menganjurkan sesuatu program yang berimpak tinggi pasti berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan.

Cabarannya pasti tidak lari daripada kecaman orang ramai terutama pengguna media sosial semata-mata untuk meraih perhatian.

Menurut pengasas World Quran Hour (WQH), Datuk Hussamuddin Yaacob, hal itu memang lumrah dalam penganjuran program berimpak tinggi, namun menganggapnya sebagai kritikan untuk meningkatkan kualitinya.

“Menarik perhatian saya apabila terdapat netizen pernah melabel program dakwah WQH begitu negatif.

“Lebih teruk lagi, ada antara pengguna media sosial menganggap WQH sebagai sebahagian daripada agenda yahudi.

“Namun itu semua persepsi dan saya menganggap ia sebagai kritikan untuk memperbetulkan kekurangan dalam WQH untuk memastikan program mendatangkan impak yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Taklimat dan Prapelancaran #QuranHour Sinergi Media Malaysia.

Lebih 20 orang mewakili lapan media cetak dan elektronik hadir di Dewan Utusan untuk mendengar dan memberi pandangan mengenai penganjuran program berkenaan.

Turut hadir ialah, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak serta Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Dalam pada itu, Hussamuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. mengharapkan penganjuran WQH pada tahun ini bakal memberikan impak yang lebih baik.

Beliau berkata, pada tahun lepas, WQH berjaya mencapai 357 juta tontonan dari seluruh dunia berbanding pada 2016 di mana program berkenaan ditonton oleh 87 juta sahaja.

Justeru, program dakwah World #QuranHour (WQH) anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menyasarkan 400 juta hingga satu bilion tontonan di media sosial.

“Untuk mencapai sasaran sedemikian memerlukan gabungan sinergi pelbagai orangisasi terutama media cetak dan elektronik untuk menyebarkan objektif WQH kepada masyarakat.

“Selain itu, dengan gabungan pelbagai pihak termasuk rakan penganjuran, Universiti Islam Malaysia (UIAM) dapat mengharungi cabaran dan menangkis tohmahan negatif untuk melaksanakan program dakwah.

“Kita juga berharap dengan penglibatan selebriti seperti Datuk Rosyam Nor, Nabil Ahmad dan yang terbaru pelakon popular, Norman Hakim dapat menyebarkan program WQH melalui pengaruh dan peminat mereka,” ujarnya.

World #QuranHour akan dianjurkan pada 7 Jun 2018 bersamaan 22 Ramadan 1439H bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *