Home » Citra Yadim » Perutusan Tahun Baharu Cina 2020 MAWAR-YADIM

Perutusan Tahun Baharu Cina 2020 MAWAR-YADIM

Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR-YADIM) mengucapkan Gōng XǐFa Cái kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyambut Tahun Baru Cina.

Kami berkongsi kegembiraan dengan semua masyarakat berbangsa Cina di Malaysia atas sambutan ini.

Malaysia adalah bumi bertuah yang dianugerahkan Tuhan dengan penduduk berbilang kaum, agama dan etnik yang dapat hidup secara rukun dan damai. Islam sebagai satu agama indah, bukan hanya mengajar manusia menjaga hubungan dengan Pencipta alam, tetapi juga menjaga hubungan sesama manusia. Melaluinya, umat Islam di Malaysia berpengalaman menyaksikan sambutan perayaan dari pelbagai kaum.

Sepertimana firman ALLAH dalam Surah Ar-Rum ayat 22 yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia yang menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”

Kepelbagaian masyarakat majmuk ini diraikan selagi mana ianya selaras dengan budaya dan tidak melanggar batas-batas syariat Islam.

Dalam mengurus dan meraikan kepelbagaian ini, kita mengambil pendekatan membina hubungan dan bekerjasama dengan pelbagai pihak atas perkara-perkara yang boleh disepakati bersama, tanpa mengabaikan tanggungjawab menyampaikan risalah Islam secara menyeluruh dan inklusif.

Bagi perkara-perkara yang kita berbeza pendapat, kita mengambil pendekatan menyatakan pendirian dengan jelas, tegas dan bersedia terlibat dalam pelbagai wacana (discourse) untuk menjelaskan pendirian. Usaha-usaha ini diharapkan dapat menzahirkan kerahmatan yang diajar oleh Islam sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud,

“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Al-Anbiya’: 107)

Sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun 2020 ini, MAWAR-YADIM mengajak seluruh rakyat Malaysia agar;

1. Berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan Malaysia sebuah negara rahmah dengan memupuk sikap toleransi dan saling menghormati di kalangan rakyat yang berbilang bangsa selaras dengan ajaran Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin.

2. Mengambil kesempatan perayaan sambutan Tahun Baru Cina setiap tahun untuk lebih mengenali anggota masyarakat pelbagai kaum dengan saling berziarah, mengucap selamat dan memberi hadiah.

3.Mengukuhkan institusi keluarga dengan menyemarakkan aktiviti-aktiviti bersama keluarga sempena cuti umum. Amalan tradisi masyarakat bangsa Cina berkumpul bersama keluarga untuk makan bersama sudah tentunya dapat mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan yang sudah terjalin.

Mari kita sama-sama berusaha untuk menjadikan Malaysia ini sebuah negara rahmah yang nikmatnya dapat dirasai oleh semua warga tanpa mengira bangsa dan agama.

Gong Xi Fa Cai

Dr Hafidzah Mustakim
Pengerusi MAWAR-YADIM
24 Januari 2020

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *