Home » Persuasif » Pindaan Akta 355: Usaha Mengangkat Martabat Mahkamah Syariah

Pindaan Akta 355: Usaha Mengangkat Martabat Mahkamah Syariah

 

 Oleh MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL

Pada 26 Mei 2016, Presiden PAS, YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang telah membentang Rang Undang-undang (RUU) Persendirian untuk meminda seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Disemak pada 1988) – selepas ini dikenali RUU 2016. Tujuan pindaan ini dibuat ialah bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad setakat denda RM5,000 sahaja, atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali kepada bidang kuasa yang lebih mengikut Syariah kecuali hukuman bunuh.

Hakikatnya, tuntutan dan seruan kepada pindaan Akta 355 bukanlah satu perkara baharu. Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim (penyumbang terkenal kepada pembangunan undang-undang Islam khasnya dan pembangunan undang-undang Malaysia amnya) semasa hayatnya telah menyuarakan perkara yang sama. Malah di semua seminar mengenai Mahkamah Syariah termasuk bidang kuasanya, lazimnya resolusi menuntut agar kerajaan meminda Akta 355. Bahkan dalam kebanyakan kajian dan penulisan akademik juga menuntut perkara yang sama.

Tetapi kenapakah usul yang dibentangkan oleh YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang membawa kepada polemik besar?

Pertama, kerana ia adalah pembentangan usul persendirian pertama yang pernah dibuat oleh ahli Dewan Rakyat pembangkang dalam sejarah Parlimen Malaysia. Kedua, RUU yang dibentangkan merupakan pindaan kepada statut negara yang lazimnya dimajukan oleh pihak kerajaan. Ketiga, RUU ini penting untuk pelaksanaan sebahagian kesalahan yang terkandung dalam Enakmen Jenayah Syariah Pindaan 2015 (Enakmen 2015) kecuali hukuman bunuh.

Perlu diimbas kembali bahawa tuntutan untuk melaksanakan undang-undang jenayah Syariah sepenuhnya telah dibuat pada tahun 1993 apabila Dewan Undangan Negeri Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 pada 25 November 1993.

Setelah hampir 23 tahun berlalu, Enakman 1993 masih belum dapat dikuatkuasakan di Kelantan lantaran beberapa perkara pokok antaranya:

  • Enakmen itu yang secara jelas mengambil peruntukan yang terkandung dalam Kanun Kesiksaan seperti hukuman mati dan kecederaan fizikal.
  • Tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Mahkamah Syariah Khas akan ‘memasuki’ bidang kuasa Mahkamah Sivil seperti menjatuhkan hukuman mati.
  • Ini berlawanan dengan bidang kuasa yang diberi kepada Mahkamah Syariah seperti yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman setakat denda Ringgit Malaysia lima ribu sahaja, atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali.

Pertimbangan sebelum perlaksanaan

Sering berlaku kekhilafan umum bahawa hanya hukuman hudud merupakan undang-udang jenayah Syariah Islam. Justeru itu, suara kuat kedengaran menuntut pelaksanaan undang-undang hudud dengan meninggalkan tuntutan yang sama signifikannya dalam qisas dan takzir.

Sebenarnya pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah menuntut kepada pertimbangan mendalam terutama tuntutan realiti semasa. Ia tidak boleh dilaksanakan sekiranya pihak kerajaan pusat tidak menyokongnya. Kekangan politik yang memerlukan sokongan orang bukan Islam yang menjadi 40 peratus penduduk Malaysia perlu diambilkira terutama apabila hukuman hudud hendak dilaksanakan. Tambahan pula kerajaan pusat berdepan dengan tentangan komponen partinya terutama MCA, MIC, Gerakan dan SUPP yang jelas membantahnya secara total.

Mengambil kira kekangan Perlembagaan Persekutuan, Kanun Kesiksaan, politik semasa dan kemajmukan masyarakat di Malaysia ini, perlaksanaan hudud menuntut kepada kebijaksanaan. Walaupun hukuman hudud tidak melihat warna kulit dan perbezaan agama kerana ia membawa keadilan sejagat, namun dengan mengambil konsep realiti semasa, Awlawiyyat (keutamaan) dan Siyyasah Syar’iyyah, buat permulaan hukuman yang bersifat kesalahan moral seperti zina, liwat dan musahaqah seperti yang telah diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri hanya boleh dikenakan ke atas orang Islam dan di Mahkamah Syariah sahaja. Pengecualian diberikan terhadap orang bukan Islam walaupun ada pandangan bahawa ia bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dari aspek kesamarataan undang-undang (equality before law).

Dalam melaksanakan undang-undang jenayah Syariah ini, falsafah dan kefahaman mengenai hukuman hudud perlu didedahkan melalui pendidikan dan dakwah kepada orang Islam dan bukan Islam sejak dari bangku sekolah. Persiapan prasarana perlu disiapkan terlebih dahulu supaya perjalanannya aman dan lancar. Oleh yang demikian, perlu dibentuk satu kumpulan khusus untuk menilai cadangan rang undang-undang hudud yang hendak dibentangkan. ( Alhamdulillah, Jawatankuasa Teknikal telah ditubuhkan).

Pertimbangan kepada pindaan Perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Kesiksaan dan Undang-undang Jenayah Syariah di negeri-negeri yang melibatkan bidang kuasa persekutuan dan negeri perlu dihalusi.

Di samping bidang kuasa dalam perkara-perkara sivil, Parlimen melalui Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kesalahan-kesalahan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai II – Senarai Negeri, menganugerahkan bidang kuasa jenayah Syariah hanya ke atas orang Islam dan hanya terhad kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam yang bertentangan dengan ajaran Islam dan mengadakan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan tersebut.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bidang kuasa jenayah Islam yang begitu terhad, yang hanya meliputi enam kategori:

  • Kesalahan-kesalahan matrimoni seperti menganiayai isteri dan tidak taat kepada suami;
  • Kesalahan-kesalahan berhubung seks seperti zina, khalwat, sumbang dan melacur;
  • Kesalahan-kesalahan berhubung minuman keras seperti menjual dan membeli arak;
  • Kesalahan-kesalahan berhubung dengan aspek kerohanian sebagai seorang Islam seperti kegagalan menunaikan solat Jumaat bagi lelaki, keengganan membayar zakat dan fitrah, dan tidak menghormati bulan Ramadan dengan tidak berpuasa;
  • Kesalahan-kesalahan berhubung pertukaran agama seperti tidak melaporkan dan mendaftar masuk atau keluar dari agama Islam; dan

Pelbagai kesalahan lain yang tidak termasuk dalam kategori di atas. Bagi kesalahan-kesalahan jenayah umum yang lain seperti mencuri, merompak, merogol dan membunuh, peruntukan bagi kesiksaan boleh didapati di dalam Kanun Kesiksaan dan bidang kuasa mahkamah dianugerahkan kepada Mahkamah Awam. Kesalahan-kesalahan ini telah disenaraikan di bawah Jadual Kesembilan, Senarai I- Senarai Persekutuan.

Pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah

Dewan Undangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang yang tersenarai di bawah Senarai Persekutuan kecuali Senarai Bersama. Ini dapat dilihat apabila berlaku pertikaian dalam kes liwat (sodomy). Ini kerana terdapat dua peruntukan bertindih dalam kesalahan liwat. Kesalahan liwat diperuntukkan dalam Kanun Kesiksaan dan Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Dalam membincangkan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di Malaysia, ia mesti meliputi undang-undang hudud, qisas (termasuk di dalamnya diyat) dan takzir. Hakikatnya, dalam konteks undang-undang jenayah Islam yang sedang terpakai di Malaysia, kebanyakan kesalahan hudud sudah termaktub dalam undang-undang jenayah Syariah di negeri-negeri. Dari segi beban pembuktian, ia sudah menggunapakai kriteria undang-undang hudud.

Kalau pun hukuman mati tidak dapat dilaksanakan di Mahkamah Syariah, namun hukuman sebatan 100 kali boleh dilaksanakan seandainya bidang kuasa di Mahkamah Syariah dipertingkatkan. Ia juga tidak meliputi orang bukan Islam kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

Adapun bagi kesalahan yang membawa hukuman bunuh di bawah qisas seperti mematikan orang dengan sengaja, mencederakan orang dan memerangi Yang di Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Kanun Kesiksaan; dan hukuman bunuh bagi merompak dan potong tangan bagi mencuri masih kekal di bawah Kanun Kesiksaan.

Sesungguhnya pindaan Akta 355 bukan sekadar untuk melaksanakan Enakmen 2015 di Kelantan, tetapi ia adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah seluruh negara yang setelah sekian lama “dianaktirikan”.

Pindaan Akta 355 tidak mengambil bidang kuasa Mahkamah Sivil mahupun hak orang bukan Islam. Malah pindaan Akta 355 tidak memungkinkan undang-undang jenayah Syariah dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ia masih tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Prof. Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil Ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *