Home » Kenyataan Media » POLITIK ‘LABEL MELAMPAU’ MEMBURUKKAN KEADAAN SERTA MEMBANTUTKAN DAKWAH DAN ISLAH

POLITIK ‘LABEL MELAMPAU’ MEMBURUKKAN KEADAAN SERTA MEMBANTUTKAN DAKWAH DAN ISLAH

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru kepada ahli-ahli politik Malaysia khasnya dari kalangan umat Islam, menjauhi dan meninggalkan gaya politik kebencian. Mereka sepatutnya terus berada di atas jalan ‘agama itu satu nasihat’ seperti sabda Rasulullah SAW, bermaksud, “ Agama adalah nasihat.” Mereka bertanya, “Untuk siapa (wahai Rasulullah)?” Beliau menjawab, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam, dan umat Islam secara umumnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/182, no. 82)

 

Nasihat yang berasal dari akar kata nasoha (نصح) membawa maksud, “menjernihkan sesuatu yang keruh.” Al-Khatthabi rahimahullah berkata: “ Nasihat adalah perkataan yang menjelaskan sebahagian besar perkara yang merujuk kepada menghendaki kebaikan kepada yang diberi nasihat.” (Ibnu Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 79)

 

Adalah keterlaluan bagi seorang ahli politik veteran seperti YB Tan Sri Abd Hadi Awang Islam terus mencurahkan minyak ke api dengan memberikan label dan perbandingan melampau kepada lawan-lawan politik. Tambahan pula lawan politik yang disasarkan adalah pemimpin yang sedang mentadbir negara dan sentiasa berusaha memakmurkan negara. Menyamakan kerajaan kepimpinan kerajaan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dengan golongan munafiq dan zionist Israel juga suatu pembohongan dan pemesongan fakta yang nyata.

 

Pada permulaan posting tersebut, YB Abdul Hadi Awang telah menyentuh berkaitan ayat Al-Quran dari Surah Al-Munafiqun ayat 7, bermaksud, “Mereka orang-orang (kalangan munafiq) yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar), ‘Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah).’ Padahal kepunyaan Allah jua perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafiq itu tidak memahami.”

 

Sesungguhnya asbabul nuzul ayat ini mengisahkan tentang sikap dan perangai Abdullah bin Ubai bin Salul (bapa Munafiq) yang menghasut para sahabat daripada kalangan kaum Ansar dengan menyeru agar mereka tidak membantu dari sudut kewangan, sokongan moral dan lain-lain serta mengeluarkan Rasulullah SAW bersama-sama Muhajirin dari bumi Madinah. Allah SWT telah menempelak sikap Munafiqun ini dengan menegaskan kepunyaan Allah SWT jualah perbendaharaan langit dan bumi.

 

Menyamakan sikap Munafiqun itu dengan kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kononnya menyekat dan tidak menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri di bawah pimpinan partinya adalah satu pemesongan fakta yang nyata. Ini kerana peruntukan kepada kerajaan negeri-negeri pembangkang disediakan dalam pelbagai bentuk dan saluran. (Rujuk peruntukan yang telah disalurkan kepada Negeri Perlis, Kedah, Kelantan & Terengganu dalam Belanjawan 2024)

 

Jika demikian tuduhan beliau, adakah tindakan menyekat peruntukan khas ahli parlimen pembangkang yang pernah dilakukan juga oleh kerajaan gabungan YB Tan Sri Abdul Hadi sebelum ini juga sama seperti sekatan yang dilakukan oleh zionist-Israel yang bukan sahaja menyekat bahkan menghancurkan keseluruhan sosio-ekonomi dan kehidupan rakyat Palestin di Gaza? Tuduhan beliau kali ini seperti menepuk air di dulang terkena percikan ke muka sendiri. Ternyata kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan banyak salah faham dan penuh dengan sikap menunggang dalil agama untuk kepentingan politik dan meraih keuntungan dunia semata-mata.

 

YADIM ingin menyeru seluruh rakyat untuk berhati-hati dalam menerima dakyah yang membawa kepada pemikiran pelampau dan ekstrem terutama yang menyeru ke arah perpecahan dan menghukum saudara seakidah tidak bersama perjuangan Islam sedangkan percanggahan hanya khilaf pada sudut politik.

 

YADIM menyokong penuh kenyataan YB Senator Dr. Mohd Naim Haji Mokhtar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, yang mengingatkan umat Islam supaya tidak terjebak dan terlibat dengan usaha pembudayaan perbuatan melabel oleh sesetengah individu dan pemimpin politik tertentu kerana ia berbahaya serta menyalahi hukum syarak. Bahkan umat Islam sepatutnya menghayati sabda Rasulullah SAW, riwayat Abu  Dzar Al-Ghifari RA, bermaksud,

 

“Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu.”   –Riwayat al-Bukhari (6045)

 

YADIM ingin menasihati seluruh pihak untuk tidak mengelirukan rakyat dengan menggunakan dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah dengan memetik tanpa merujuk kepada asbabul nuzul dan konteks yang benar dan tepat. Islam menyeru kepada keharmonian dan keamanan sejagat. Islam bukanlah agama milik individu atau kelompok tertentu, tetapi agama daripada Allah SWT sebagai panduan penyelesaian kepada seluruh umat manusia. Kembalilah kepada ‘agama itu satu nasihat.’

 

DATUK HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS

YANG DIPERTUA YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA

Jumaat, 8 Disember 2023/ 24 Jamadil Awwal 1445

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *