Home » Langit Terbuka » Produk halal Malaysia dapat permintaan tinggi di India

Produk halal Malaysia dapat permintaan tinggi di India

Eksport produk kosmetik dan penjagaan peribadi halal Malaysia ke India berjumlah RM166.0 juta pada 2018. - Foto Salaam Gateway

BENGALURU – Produk halal Malaysia, terutamanya barangan kosmetik dan penjagaan peribadi mendapat permintaan tinggi di India meskipun pertumbuhan jualan yang perlahan pada 2018, kata Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC).

Pengurus Bahagian Antarabangsanya, Mohammad Shukur Sugumaran berkata, pengimport India menunjukkan minat tinggi untuk mendapatkan produk tersebut dari Malaysia berikutan kesedaran yang semakin meningkat untuk mencari produk yang bersih, organik, sihat dan selamat, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Permintaan adalah amat besar di India sekarang, dan ia bukan hanya datang daripada orang Islam tetapi juga daripada bukan Islam,” katanya kepada Bernama di luar acara Global Halal India Expo 2019, di sini hari ini.

Perangkaan daripada HDC Halal Datawarehouse System menunjukkan eksport halal ke India meningkat 12 peratus kepada RM1.59 bilion pada 2018 daripada RM1.43 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, eksport produk kosmetik dan penjagaan peribadi halal susut kepada RM166.0 juta pada 2018 daripada RM172.93 juta.

Selain daripada produk kosmetik dan penjagaan peribadi, Mohammad Shukur, yang bertemu beberapa pengimport India bersempena dengan ekspo tiga hari itu di sini mendedahkan bahawa fesyen sederhana bercirikan Islam juga merupakan produk yang semakin mendapat perhatian pengimport.

“Saya dimaklumkan bahawa semakin ramai generasi muda Muslim berminat untuk berpakaian mengikut cara Islam, iaitu bersederhana, tetapi dalam masa yang sama masih kekal moden,” katanya.

Selain itu, katanya, makanan dan minuman halal kekal sebagai produk pilihan dalam pasaran India, meskipun peraturan pelabelan ketat yang dikenakan oleh badan kawal selia makanan negara tersebut, Food Safety and Standards Authority of India (FSSAI).

Banyak produk makanan dan minuman Malaysia seperti biskut Hup Seng, sos cili Limgham dan makanan ringan Miaow Miaow mendapat sambutan baik di India,” katanya.

Produk halal lain seperti coklat, barangan dandanan diri, produk bayi, produk penjagaan kebersihan wanita, pakaian sukan Muslimah dan perabot bukan daripada kulit babi juga mendapat permintaan besar di negara itu, katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *