RATUSAN Pengunjung membanjiri perkarangan Bukit Bintang padaa 31 Julai bagi menyertai program al-Quran Di Mana-Mana edisi istimewa yang penuh aura dan ketenangan, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, yang turut hadir bersama pimpinan Rakan Siswa YADIM dari pelbagai institusi.
Program luar biasa ini dimulakan tepat jam 8 malam dengan DJ Sufian Amrin atau lebih dikenali sebagai Pyan mengalukan kehadiran orang ramai sambil mengupas kehebatan dan mukjizat al-Quran sebagai petunjuk sepanjang zaman. Suasana berubah menjadi syahdu apabila para Qari Muda tampil memulakan sesi al-Quran Challenge, memperdengarkan taranum yang memukau, sekali gus membuka dimensi baru terhadap seni dan keindahan al-Quran di tengah kota metropolitan.
Kemuncak program menyaksikan kehadiran Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang Berhormat Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Naim Mokhtar, yang disambut dengan alunan ayat suci al-Quran sebagai tanda penghargaan dan doa. Detik ini meninggalkan kesan mendalam, membuktikan bahawa kalamullah mampu menyatukan hati walau di tengah hiruk-pikuk dunia moden.
Acara diteruskan dengan persembahan nasyid eksklusif daripada kumpulan UNIC, yang menggamatkan suasana sambil menzahirkan cinta terhadap al-Quran dalam bentuk nyanyian yang merdu dan menyentuh jiwa.
#AlQuranUntukSemua bukan sekadar slogan, ia adalah satu gerakan dakwah santai, namun mendalam, membina gelombang cinta al-Quran di setiap pelosok kehidupan – dari masjid ke metropolis, dari desa ke pusat kota. Ayuh, teruskan bersama kami menzahirkan cinta terhadap Kalamullah… di mana-mana!



KOMEN