PUTRAJAYA – Karnival Jejak Imam Nawawi Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2026 berlangsung dengan pengisian yang memberi penekanan terhadap penguasaan tulisan Jawi serta penghayatan hadis dalam kalangan pelajar.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Putrajaya dengan kerjasama YADIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu menghimpunkan para pelajar bagi mengikuti pelbagai aktiviti berteraskan ilmu dan penghayatan Islam.
Antara pengisian program ialah aktiviti Sahiba Jawi yang berlangsung di Bilik Latihan dengan penyertaan hampir 40 orang murid. Aktiviti tersebut bertujuan memperkasakan penguasaan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar menerusi pendekatan yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
Karnival ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan dan mendekatkan para pelajar dengan hadis-hadis Rasulullah SAW menerusi siri pengisian yang merangkumi pembentangan hadis serta reruai hadis. Pendekatan tersebut diharap dapat menanam kesedaran tentang kepentingan mengenali, memahami dan menghayati hadis Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
Majlis turut diserikan dengan ucapan perasmian oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Encik Mohd Hakimi Ali.
Turut hadir, Penolong Pengarah YADIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Daie Muda YADIM Aniq Muqri Mohammad yang turut menyampaikan sijil kepada para peserta.
Karnival Jejak Imam Nawawi ini merupakan antara usaha berterusan dalam memperkukuh pendidikan Islam secara lebih kreatif dan interaktif, di samping menyemai kecintaan generasi muda terhadap tulisan Jawi serta hadis Rasulullah SAW.



KOMEN