ALHAMDULILLAH. Program Bicara Dakwah Al-Kahfi anjuran YADIM sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-65 telah berlangsung di Pavilion, WTC Kuala Lumpur pada 5 Ogos.
Forum ini membuka ruang renungan mendalam tentang makna pembangunan umat dan penangkisan fitnah berpaksikan Surah Al-Kahfi.
Sesi ini menampilkan dua ahli Nadwah Ulama dan Ilmuwan YADIM (NUIM) Dr. Mohd Faridh Hafez Mhd Omar dan Ustaz Hasri Harun yang berkongsi kupasan penuh hikmah dan membumi tentang cabaran umat Islam masa kini serta peranan Al-Qur’an sebagai petunjuk dalam menghadapi realiti fitnah zaman.
Forum dikemudi oleh moderator berkaliber, Daie Muda YADIM Farhat Pisal, dengan suasana yang cukup hidup dan interaktif.
Kehadiran para peserta dari pelbagai latar belakang mencerminkan minat mendalam terhadap wacana keilmuan berteraskan Al-Qur’an. Banyak mesej penting dikongsikan, termasuk keperluan umat untuk kembali kepada kefahaman Islam yang sahih, membina kekuatan dalaman, dan memelihara akidah dalam suasana global yang mencabar.
YADIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir dan menjayakan program ini. Semoga segala ibrah yang diperoleh menjadi bekal dalam memperkukuh iman dan menyumbang kepada kebangkitan ummah yang berpandukan wahyu.



KOMEN