SIRI Pertama Program Jelajah Sedar Remaja Madani Peringkat Negeri Kelantan dengan tema ‘Sayangi Diri, Tolak Vape’ telah membuka tirainya di daerah Machang dengan penglibatan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Machang dan YADIM Negeri Kelantan pada 5 Ogos.
Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah II ini menghimpunkan seramai 100 orang peserta daripada 15 buah sekolah rendah dan menengah sekitar daerah Machang sebagai usaha memperkasa remaja dengan kesedaran mengenai bahaya penggunaan vape dan kepentingan menjaga jati diri dalam era cabaran semasa.
Slot kerohanian yang menjadi tumpuan program telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan YADIM Negeri Kelantan, Ustazah Yusnita Muhamed Yusoff yang menyentuh aspek pembangunan sahsiah dan nilai kerohanian.
Majlis penutupan program disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, PPD Machang, Encik Mohd Hazmi Ariffin. Turut hadir, Pengetua SMK Hamzah II, Haji Jaffaridin Mohd Rafi’ai, yang juga menjadi tuan rumah kepada program sulung ini.
Sekolah-sekolah yang terlibat dalam Siri 1 ini terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Hamzah (1), SK Hamzah (2), SK Belukar, SK Bukit Tiu, SK Ayer Merah, SMK Abdul Samad, SMK Machang, SMK Bandar Machang, SMK Hamzah, SMK Hamzah (2), SMK Pangkal Meleret, SMK Seri Intan, SMK Temangan, SMK Agama Wataniah dan Sekolah Menengah Sains Machang.
Program ini merupakan inisiatif berterusan yang bakal diteruskan ke daerah-daerah lain di Kelantan sebagai kesinambungan usaha mencegah penggunaan vape dalam kalangan pelajar serta memupuk nilai Madani dalam diri remaja.



KOMEN