GOLONGAN Pelajar sentiasa menjadi keutamaan YADIM untuk didekati bagi melestari gerakan dakwah.
Inisiatif terbaharu bagi tujuan itu berlangsung pada 1 hingga 3 Ogos menerusi penglibatan dalam program Perkampungan Menara Gading MADANI (PMG Madani) 2025 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.
Program ini merupakan platform pencerahan kepada bakal mahasiswa dan mahasiswi dalam mempersiapkan diri mereka sebelum melangkah masuk ke Institusi Pengajian Tinggi anjuran anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dengan kerjasama YADIM, Akademi Kenegaraan Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Belia Malaysia dan rakan badan bukan kerajaan Bayt Rahmah.
Seramai 500 pelajar matrikulasi dari seluruh negara hadir ke program ini yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia, Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom turut hadir ke majlis penutup pada 3 Ogos. Terdahulu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Prof. Ts. Dr Zuriati Ahmad Zukarnain telah terlibat dalam sesi wacana dalam program ini yang bertajuk ’Mahasiswa Bitara: Membangun Ilmu dan Adab dalam Dunia AI’ pada 1 Ogos.
Sesi ini menekankan bahawa kecemerlangan mahasiswa bukan hanya terletak pada pencapaian akademik, tetapi turut bergantung pada penguasaan adab dan nilai insani, khususnya dalam menghadapi cabaran teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI).
PMG MADANI 2025 ini akan menjadi medan pengukuhan jati diri dan pembinaan karakter mahasiswa berteraskan nilai Madani.
Penganjuran program seumpama ini diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa, khususnya dalam membina generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga tinggi nilai sahsiah dan spiritual.



KOMEN