Home » Citra Yadim » Program rintis Salam ASEAN berjaya

Program rintis Salam ASEAN berjaya

rbt

YALA – Program Reaching Out Love Together (ROOT) anjura Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Yala dan Patani, Thailand yang merupakan program rintis Salam ASEAN Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah berlangsung dengan jayanya pada 23 hingga 31 Ogos lalu.

Program ini yang mendapat kerjasama YADIM melalui modul Salam ASEAN yang memberi penekanan kepada aspek-aspek pendidikan, kebajikan dan kebudayaan di antara negara-negara ASEAN.

Pengarah program ini , Mohamad Hakimi Abdul Hadi berkata, program berkenaan telah memberikan pengalaman yang amat berharga dan pendedahan kepada para peserta tentang penduduk minoriti Islam di negara ASEAN iaitu Thailand.

“Dalam program ini kami menekankan aspek pendidikan terutamanya Bahasa Melayu kepada kanak-kanak kampung yang terbabit iaitu Kampung Thassap, Yala dan Kampung Nat Tanjung, Patani,’’ katanya.

Beliau  berkata, dalam program itu, para peserta yang terdiri daripada pelajar UIA dalam pelbagai kursus dan tahun pengajian telah ditempatkan di rumah-rumah keluarga angkat di dua kampung berkenaajn.

Menurutnya, pengalaman menetap di rumah penduduk kampung adalah satu pengalaman yang sangat berharga dan membolehkan para peserta menyelami kehidupan masyarakat tempatan yang sangat sederahana.

“Dengan membawa tema `Hidup Biar Berjasa’, telah menjadi pendorong kepada untuk membawa misi Salam ASEAN agar ukhuwah terjalin di kalangan masyarakat di rantau ini dengan semangat saling membantu dan prihatin dengan masalah yang mereka hadapi,’’ katanya.

Sementara itu, pensyarah UIA, Ustaz Fauzi Muda yang juga penasihat PKPIM UIA berkata, program sedemikian merupakan `pelajaran’ yang tidak akan diperolehi di bilik-bilik kuliah.

Menurutnya, program sedemikian mempunyai banyak pengajaran yang boleh diperolehi oleh para pelajar terutama dalam menyelami erti kehidupan dan kesukaran hidup segelintir masyarakat yang lain.

“Program ini boleh menyemai perasaan kemanusiaan di kalangan para pelajar dan apabila melihat kehidupan minoriti Islam di negara lain, mereka boleh mengambilnya sebagai pengajaran dalam kehidupan mereka,’’ katanya.

Dalam program ROOT ini, para peserta telah melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya, kelas bahasa Melayu dan Jawi, membersih dan mencantikkan surau, lawatan ke universiti tempatan dan kenduri bersama komuniti tempatan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *