Home » Langit Terbuka » TV Alhijrah ‘buka ruang’ pada bukan Islam?

TV Alhijrah ‘buka ruang’ pada bukan Islam?

Bermula 16 September ini, Tv Hijrah akan lancarkan rancangan Sembang Rahmah di mana moderator dan ahli panelnya terdiri daripadari pelbagai kaum dan agama. - Foto Penerangan

KUALA LUMPUR – TV Alhijrah akan mula menyediakan program yang mensasarkan penonton bukan Muslim agar mereka lebih memahami pendekatan dan ajaran agama Islam yang sebenar, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baru, Namanzee Harris.

Menurutnya, ini penting bagi mengurangkan ‘kegelisahan’ golongan berkenaan terhadap banyak perkara yang menjadi isu sejak akhir-akhir ini.

Ujarnya, ini kerana isu ‘Islamophobia’ kini mula ‘menyerang masuk’ dan adalah menjadi tanggungjawab TV Alhijrah untuk sama-sama memperjelaskan perkara tersebut kepada masyarakat bukan Islam di negara ini.

“ Kita akan buat banyak program untuk memberi ruang kepada orang bukan Islam seperti rancangan Sembang Rahmah yang mensasarkan masyarakat berbilang kaum dan agama, sekaligus membuktikan stesen ini membuka ruang kepada bangsa lain untuk berkongsi pendapat mereka.

“ Kita sedar selama ini kita hanya memfokuskan program-program kita pada orang Islam sahaja tetapi pada 16 September ini kita akan lancarkan Sembang Rahmah di mana moderator dan ahli panelnya terdiri daripada mereka yang datang dari pelbagai kaum dan agama.

“ Sebelum ini pun bukan tak ada program seperti itu di stesen televisyen kami cuma kali ini sudah tiba masanya ia diperkukuh dan diperbanyakkan lagi,” ujar Namanzee.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan “Sembang Santai Ulangtahun ke-9 bersama Namanzee Harris” di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, di sini.

Dalam pada itu, Namanzee berkata walaupun industri media secara umumnya menghadapi cabaran yang besar khususnya dari segi kewangan dan pendapatan, tetapi beliau percaya Stesen TV Alhijrah akan mampu untuk terus bertahan.

Tegasnya, TV Alhijrah juga akan terus relevan di negara ini biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesulitan.

“ Walaupun kita akui pendapatan pengiklanan (adex) berkurangan, tetapi kita lihat banyak stesen televisyen mencatatkan peningkatan pendapatan dalam segmen ‘home shopping’, itu yang kita akan terus terokai.

“ Menjawab soalan sama ada stesen televisyen kami masih relevan atau tidak, bagi saya sudah tentu kehadirannya diperlukan kerana di negara kita majoriti penduduknya beragama Islam, agama rasmi juga adalah agama Islam, jadi adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menyantuni masyarakat Muslim di negara ini.

“Kita juga dah ada banyak saluran hiburan tetapi saluran yang bersifat ilmu dan ‘infotainment’ masih diperlukan…dan sudah tentu Stesen TV Alhijrah boleh memainkan peranannya besar dalam perkara tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *