KUALA LUMPUR — Masjid al-Ikhlasiah, Pantai Dalam dengan YADIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah menganjurkan bersama Program Tahnik Perdana: Barakah Cahaya Mata 2026 yang berlangsung di masjid berkenaan pada 19 September.
Program yang disertai seramai 26 orang bayi ini menjadi wadah untuk menghidupkan sunnah tahnik, mengeratkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan komuniti serta memperkukuh hubungan masyarakat dengan institusi masjid.
Hadir sama Pengerusi Masjid al-Ikhlasiah, Haji Abas Mohamed dan Pengarah YADIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Puan Siti Zaiton Bachok yang turut menyampaikan ucapan perasmian pembukaan program.
Dalam ucapan tersebut, Puan Siti Zaiton menzahirkan hasrat agar institusi keluarga terus diperkukuh menerusi sinergi yang erat antara masjid, YADIM dan masyarakat setempat.
Program turut diserikan dengan pengisian Berzanji, Marhaban dan Selawat yang dipimpin oleh penggiat berzanji dan marhaban, Ustaz Fadhlullah Ismail Helmi, Ustaz Salehuddin Al Ayubi Al Hafiz dan Ustaz Jamlush Shaarif Shahaarif.
Sesi perkongsian oleh Daie Muda YADIM Muhammad Alfateh, turut mengupas kepentingan membina keluarga bahagia serta membentuk suasana keluarga yang dekat dengan masjid sebagai asas dalam melahirkan anak-anak yang soleh dan menjadi generasi pewaris masa hadapan.
Kemuncak program menyaksikan sesi tahnik secara beramai-ramai yang dipimpin oleh para pentahnik, diikuti penyampaian cenderahati.
Penganjuran Program Tahnik Perdana ini mencerminkan peranan masjid sebagai institusi yang bukan sahaja menjadi pusat ibadah, malah berfungsi sebagai wadah penyatuan masyarakat dan pengukuhan institusi kekeluargaan. Usaha seperti ini diharap dapat terus menyemai kecintaan keluarga terhadap masjid serta membentuk generasi yang soleh, berakhlak dan mempunyai jati diri yang kukuh.
YADIM turut berharap jalinan sinergi bersama masjid-masjid dan masyarakat setempat dapat terus diperkasa melalui pelbagai program dakwah dan kemasyarakatan demi memperkukuh institusi keluarga serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan negara yang lebih mampan.



KOMEN