Home » Langit Terbuka » PUM sokong semak balik had bilangan jemaah

PUM sokong semak balik had bilangan jemaah

Tindakan pengawalan kuota jemaah itu menurut PUM, termasuk dalam prinsip Hifz al-Nafs iaitu menjaga nyawa berdasarkan kaedah Maqasid Syariah demi kepentingan maslahat ummah. - Foto Karangkraf

PUTRAJAYA – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyambut baik usaha pihak kerajaan untuk menyemak kembali had bilangan kehadiran jemaah di masjid dan surau di seluruh negara.

Yang Dipertuanya, Datuk al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, langkah diambil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu selaras perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semakan semula ini amatlah wajar kerana timbul beberapa isu apabila umat Islam amat ‘merindui’ peluang hadir solat dalam rumah Allah,” katanya menerusi kenyataan di pada 12 September.

Beliau mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang sedia mengkaji semula kapasiti jemaah di masjid dan surau ketika ini.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), jemaah untuk ibadah solat fardu dibolehkan masuk asalkan mematuhi jarak fizikal satu meter.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, mereka yang tidak diizinkan hadir kerana had sudah cukup, sebenarnya dari segi syarak boleh mendirikan solat di rumah atau mana-mana tempat.

“Mereka yang gagal dapat solat Jumaat itu tidaklah dianggap berdosa kerana kewajiban pihak berkuasa untuk mencegah penularan wabak Covid-19 ketika ini adalah lebih utama,” jelasnya.

Tindakan pengawalan kuota jemaah itu ujar beliau, termasuk dalam prinsip Hifz al-Nafs iaitu menjaga nyawa berdasarkan kaedah Maqasid Syariah demi kepentingan maslahat ummah.

Saranan Idris itu, katanya, amat tepat kerana urusan hal ehwal agama tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan sultan selaku ketua tertinggi agama Islam.

Pada masa sama, beliau turut bersetuju dengan usaha pihak Jakim untuk mencadangkan agar surau di pejabat atau taman perumahan dapat keizinan bagi pelaksanaan solat Jumaat.

Setakat ini, Jakim merekodkan sejumlah 18,265 surau di seluruh negara dengan Selangor terbanyak iaitu 2,170 buah termasuk 259 buah yang dibenarkan untuk ibadah solat Jumaat.

“PUM percaya bahawa usaha ini dapat memberikan impak terutama aspek kesejahteraan psiko-spiritual umat Islam yang sangat memerlukan kekuatan rohani,” tegas Abdul Halim.

Justeru, beliau mendoakan sesuatu yang terbaik dapat diusahakan atas inisiatif Idris bagi kesejahteraan bersama rakyat khasnya umat Islam dalam membentuk Keluarga Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *