Home » Langit Terbuka » Putrajaya sudah ada garis panduan, fatwa mengenai Syiah

Putrajaya sudah ada garis panduan, fatwa mengenai Syiah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan, pandangan Diplomat Arab Saudi berkenaan Syiah adalah bersifat peribadi. - Foto IKIM

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan sudah mempunyai garis panduan dan fatwa yang jelas mengenai ajaran Syiah.

Beliau berkata kenyataan diplomat Arab Saudi di Malaysia, Sheikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai’in bahawa Syiah adalah ancaman kepada umat Islam adalah pandangan peribadinya.

“Jadi kalau pun itu dia cakap sebagai pandangan dia, tetapi saya yakin dia mengetahui kita tak campur tangan urusan dalaman mana-mana negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan tengah hari waris dan mangsa kemalangan kren di Mekah.

Terdahulu, Sheikh Abdurrahman pada Konvensyen Ilmu Sunnah Peringkat Kebangsaan baru-baru ini berkata ajaran Syiah cabaran terbesar kepada umat Islam dan sia-sia untuk mendekati mereka dalam usaha menyatukan umat Islam kerana sudah sesat.

“Perbezaan antara Ahli Sunnah dengan Syiah bukan membabitkan soal Fiqiyyah semata-mata, tetapi juga antara haq dengan yang batil,” katanya.

Syiah, aliran Islam kedua terbesar mempunyai banyak pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian di Arab Saudi, Yemen dan Pakistan.

Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata seramai 7 waris jemaah haji Malaysia semasa insiden kemalangan kren di Masjidil Haram menerima sumbangan peribadi berjumlah 1 juta riyal (RM1.17 juta) daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud.

Manakala waris kepada 3 orang yang cedera dalam insiden itu, katanya, menerima sumbangan peribadi daripada Raja Salman sebanyak 500,000 riyal (RM587,574).

“Duit terus masuk dalam akuan Amanah Raya untuk memastikan supaya duit itu sampai dengan telus.

“Sudah (duit masuk dalam Amanah Raya) pada bulan 11,” katanya.

Mujahid berkata majlis hari ini juga dibuat secara simbolik untuk menghargai usaha Arab Saudi.

Beliau mengucapkan penghargaan daripada kerajaan Malaysia di atas keprihatinan Raja Salman serta Arab Saudi dalam menangani peristiwa ini. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *