Home » Langit Terbuka » Putrajaya tak cadang turun harga minyak ke paras RM1.50

Putrajaya tak cadang turun harga minyak ke paras RM1.50

Timbalan Menteri Kewangan berkata, kerajaan tiada rancangan menurunkan harga minyak ke paras RM1.50 kecuali jika harga minyak mentah dunia turun ke paras itu

KUALA LUMPUR – Kerajaan tiada rancangan menurunkan harga minyak ke paras RM1.50 seliter, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, kerajaan tiada rancangan itu kecuali jika harga minyak mentah dunia turun ke paras itu.

Katanya, manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya umum lalu tidak menyenaraikan perkara itu sebagaimana yang didakwa segelintir pihak.

“Saya mencari di mana RM1.50 (disebut) dalam buku PH, tetapi tidak ada. Tidak tahulah jika ada pihak yang dalam keghairahan berkempen menjanjikan perkara itu,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Ng Chiang Chin mengenai jumlah subsidi minyak yang dibelanjakan dan rancangan kerajaan menurunkan harga minyak sehingga RM1.50 yang dikatakan dalam manifesto PH.

Amiruddin berkata, jumlah subsidi petrol bagi RON95 dan diesel yang ditanggung kerajaan dari Mei hingga Julai lalu sebanyak RM1.667 bilion.

Katanya, pada masa ini, kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.20 dan RM2.18 seliter, walaupun harga sebenar pasaran lebih tinggi daripada harga itu.

Beliau berkata, mekanisme terperinci pelaksanaan sistem subsidi petroleum secara bersasar sedang dikaji dan akan diumumkan setelah dimuktamadkan.

Menerusi sistem subsidi bersasar itu, subsidi petrol diberikan pada kadar sesuai setiap bulan dan mengikut kuota ditetapkan kepada golongan kumpulan berpendapatan isi rumah 40% terendah (B40).

“Subsidi ini diberi kepada golongan yang layak untuk kegunaan motosikal 125cc ke bawah dan kereta 1300cc ke bawah,” ujarnya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *