Home » Langit Terbuka » Rampas buku Irshad Manji: Semakan kehakiman ditolak

Rampas buku Irshad Manji: Semakan kehakiman ditolak

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbitan buku ZI Publication Sdn Bhd dan Pengarahnya Mohd Ezra Mohd Zaid gagal mencabar tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyerbu dan merampas buku terjemahan penulis kontroversi Irshad Manji ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’ (Allah, Liberty and Love), enam tahun lalu.

Ianya susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan selepas memutuskan bahawa waran geledah yang dikeluarkan oleh Jais adalah sah.

Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said berkata, siasatan ke atas pemohon (ZI Publication dan Mohd Ezra) masih berjalan dan ia tidak boleh disemak.

Waran geledah yang dikeluarkan oleh Jais adalah sah kerana ia mengikut peruntukan Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.

Beliau berkata, Mohd Ezra ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 enakmen jenayah syariah dan kesalahan mengikut enakmen itu tidak bergantung kepada fatwa atau perintah larangan.

“Relif yang dipohon oleh pemohon berkait dengan kuasa pihak berkuasa agama iaitu Jais, Ketua Pengarah Jais dan Ketua Pegawai Penguatkuasa Selangor iaitu responden pertama hingga ketiga.

Ujarnya, kuasa responden ketiga iaitu Ketua Pegawai Penguatkuasa Selangor untuk menyiasat diperuntukkan di bawah Bahagian IV enakmen berkenaan.

“Kuasa yang dilaksanakan ketika siasatan jenayah tidak boleh disemak mengikut Perintah 53 Kaedah Mahkamah 2012,” katanya.

Selain itu, menurut Kamaludin, waran geledah dan rampasan buku dibuat ketika siasatan jenayah bagi kesalahan di bawah enakmen mengikut kuasa yang diberikan di bawah enakmen terbabit.

“Sehubungan itu, isu yang dibangkitkan mengenainya adalah di luar skop semakan kehakiman,” katanya.

Sementara itu Kamaludin berkata, tidak ada sebarang kesilapan dengan waran geledah kerana ia mematuhi borang statutori mengikut Seksyen 46 enakmen berkenaan, iaitu kuasa untuk merampas apa sahaja sebagai bahan bukti.

“Serbuan dijalankan di premis pemohon pertama (ZI Publications) melalui waran yang dikeluarkan secara sah mengikut Seksyen 46 enakmen jenayah syariah terbabit,” katanya.  ZI Publications dan Mohd Ezra memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 9 Julai 2012, dengan memohon antaranya perintah untuk membatalkan tindakan pegawai Jais yang menyerbu dan merampas 180 buku itu pada 29 Mei 2012 di syarikat penerbitan ZI Publications di B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor.

Selain Jais turut dinamakan sebagai responden ialah Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Kerajaan Selangor dan Kerajaan Malaysia.

Mereka memohon perintah untuk membatalkan penahanan Mohd Ezra pada 29 Mei 2012 dan pendakwaan oleh Jais selain menuntut perisytiharan bahawa Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, berhubung siasatan ke atas Mohd Ezra, diketepikan kerana bercanggah dengan Perkara 10(1)(a) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ialah mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *