Home » Langit Terbuka » Rasai pengalaman berkunjung ke Masjid Negara secara maya

Rasai pengalaman berkunjung ke Masjid Negara secara maya

SHAH ALAM – Orang ramai yang tidak dapat berkunjung ke Masjid Negara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih boleh menikmati lawatan eksklusif ke rumah ibadah itu melalui lawatan virtual 360 darjah melalui kaedah persidangan video.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Masjid Negara Malaysia, Islamic Outreach ABIM Centre dan platform teknologi LokalLocal memaklumkan persidangan video itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja sama ada di rumah atau di seluruh dunia.

Kenyataan itu memaklumkan, pengunjung boleh merasai pengalaman pemanduan pelancongan masjid dengan dipandu oleh pemandu pelancong masjid berpengalaman secara maya.

“Sebelum berlakunya pandemik Covid-19, Masjid Negara merupakan salah satu destinasi pelancongan dan mercu tanda Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Jelas kenyataan itu, lawatan Masjid Negara secara maya itu merupakan inisiatif digitalisasi secara bersama pihak berkenaan.

Jelas kenyataan itu, pemanduan secara langsung itu disampaikan dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Mandarin.

Menurut kenyataan, pengalaman maya itu juga dapat menjana kesedaran mengenai ikon kebangsaan negara dalam jangka masa panjang selain memberi peluang kepada pengunjung untuk mengatur rancangan ke negara ini pada masa depan setelah sempadan kembali dibuka.

“Lawatan maya ini merangkumi fotografi secara 360 darjah yang menarik, video dan penerangan yang dapat memberikan gambaran lengkap mengenai rekabentuk seni bina, sejarah dan fungsi Masjid Negara.

“Sebagai contoh pelancong dapat melihat keindahan pencahayaan Dewan Solat Utama, video ketika azan dikumandangkan dan mendengar penerangan secara audio,” katanya.

Kenyataan itu memberitahu, lawatan secara maya itu dapat dilihat melalui lawan sesawang di komputer, telefon pintar atau dengan memakai alat pandang dengar realiti maya (VR).

Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni berkata, usaha dicetuskan rakan strategik dalam dakwah dan pelancongan Islam Islamic Outreach ABIM Centre- Masjid Tour Guide dengan kerjasama Localokal memanfaatkan teknologi digitalisasi untuk pelancong dalam dan luar negara mengakses lawatan secara maya.

“Penggunaan digitalisasi ini memudahkan pelancong mendapatkan informasi tentang peranan, senibina dan sejarah Masjid Negara,” katanya.

Pengarah 1OAC-MTGP, Normah Sulaiman berkata, pandemik yang berlaku memberikan cabaran kepada pihaknya mencari alternatif berhubung dengan orang ramai untuk melihat masjid indah di negara ini yang juga merupakan sebahagian daripada destinasi pelancongan.

“Pemanduan pelancongan maya Masjid Negara, VR adalah langkah pertama kami bagi keperluan Program Pemanduan Pelancong Masjid kepada spektrum maya,” ujar beliau.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LokalLocal, Chin Yoon Khen berkata, program lawatan maya itu membolehkan orang ramai merasai pengalaman melihat Masjid Negara selain dapat menghubungkan dengan identiti kebangsaan Malaysia dengan penuh emosi, menarik merangkumi VR, gambar tinggi dan mempunyai ciri-ciri unik.

Lawatan Maya Masjid Negara boleh didapati untuk tempahan di laman sesawang IOA Center atau melalui WhatsApp, Facebook Messenger atau e-mel kepada mtgp@ioacentre.org.my.

Untuk maklumat lanjut, sila lawat https://www.ioacentre.org.my/vrt-masjidnegara/.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *