Home » Resensi » Resolusi Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019

Resolusi Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019

Movenpick Hotel And Convention Centre, Klia
18-19 November 2019

MENGINSAFI kepentingan golongan ulama dan ilmuwan sebagai kelompok teras dalam peradaban ummah Islam dan tuntutan terhadap keperluan menyatukan, menggembleng dan memperkasa para ulama Asia Tenggara ke arah kemakmuran dan keamanan Asia Tenggara;

MEMAHAMI kemakmuran Asia Tenggara hendaklah dijayakan dan dilestarikan secara berterusan dan ia hendaklah dipandu dan digerakkan bersama berasaskan nilai-nilai kesejagatan agama Islam berteraskan prinsip Rahmatan Lil-‘Alamin;

MENYEDARI umat Islam adalah satu kumpulan utama dalam komuniti Asia Tenggara yang mesti terus diperkasakan serta masih berhadapan dengan cabaran serta isu-isu kemasyarakatan dan ketamadunan yang mesti saling dikongsi bersama;

MENGHAYATI tuntutan menjayakan visi dan misi membina kemakmuran dan keamanan Asia Tenggara berasakan prinsip Rahmatan Lil-‘Alamin memerlukan satu pencapaian pengurusan gerak kerja yang mantap, tersusun dan berperancangan dari kalangan para ulama, penggerak dakwah dan individu Muslim di segenap peringkat kehidupan;

MENYEDARI pembangunan gerak kerja berkesan ke arah mencapai cita-cita nahdah pembangunan ummah di Asia Tenggara yang menyeluruh di masa depan memerlukan satu sokongan dana kewangan yang kukuh;

MAKA,

 Multaqa Ulama Asia Tenggara (MUAT) 2019 yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 November 2019 anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan Islam utama negara dan telah disertai seramai 500 orang peserta dari kalangan para ulama, ilmuwan, pimpinan pergerakan Islam, ahli akademik, aktivis dakwah dan mahasiswa dari Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara, dengan ini mencapai resolusi berikut:

PERTAMA: Menjadikan persidangan Multaqa Ulama Asia Tenggara sebagai acara berkala dengan mengesyorkan dilaksanakan secara dwitahunan dan bergilir di kalangan negara-negara Asia Tenggara. Menerusi acara berkala ini, persidangan ini akan menjadi sebuah wadah dakwah dan keilmuan yang akan mengukuhkan persefahaman dan keselarasan tindakan bagi tujuan kemajuan ummah di Asia Tenggara.

KEDUA: Melestarikan jaringan amal Islami di Asia Tenggara melalui pemerkasaan dan pengembangan fungsi MABIMS serta penubuhan  Sekretariat Dakwah Asia Tenggara (SDAT) bertujuan bagi mengukuhkan penyelarasan, pengurusan dan rangkaian kolaborasi di kalangan ulama, ilmuwan, dan para pendakwah Islam di peringkat Asia Tenggara dan diselaraskan oleh YADIM. Dengan tertubuhnya SDAT, gerak kerja amal Islami dalam bentuk peningkatan kefahaman dan pengetahuan baharu dan bakti kesukarelawanan dakwah di peringkat Asia Tenggara akan dapat diperkukuhkan.

KETIGA: Mewujudkan satu gerakan kemakmuran dan kedamaian berasaskan Rahmatan Lil-‘Alamin menerusi pelaksanaan Konvensyen Rahmatan Lil-‘Alamin di peringkat negara-negara Asia Tenggara dalam tempoh tiga (3) tahun akan datang. Penganjuran konvensyen ini secara langsung akan meningkatkan pengumpulan bahan ilmiah dan mengukuhkan pemikiran dan budaya hidup yang lebih inovatif di kalangan umat Islam di Asia Tenggara ke arah mewujudkan keamanan sejagat.

KEEMPAT: Menggerakkan usaha dalam mewujudkan satu rangkaian media dakwah Asia Tenggara dengan mengadaptasi semua saluran media termasuk media baharu bagi menerbitkan karya-karya ilmiah berkaitan Rahmatan Lil-‘Alamin secara berkala serta disebarluaskan di dalam kalangan negara Asia Tenggara.

KELIMA: Mewujudkan satu gerakan pendidikan Islam peringkat akar umbi dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara bagi meningkatkan tahap kefahaman dan penghayatan agama Islam yang masih lemah dalam kalangan komuniti Muslim. Bagi tujuan tersebut, satu modul khas pendidikan Islam peringkat komuniti perlu dibangunkan.

KEENAM:  Membangunkan satu model pendanaan dakwah yang efektif di peringkat Asia Tenggara dengan memanfaatkan instrumen kewangan Islam yang bersesuaian seperti zakat, wakaf dan infak bagi menyokong gerak kerja sosial dakwah yang menyeluruh terutama dalam aspek pendidikan dan kebajikan umat Islam di Asia Tenggara.

KETUJUH: Bersetuju menganjurkan Multaqa Ulama Sedunia 2020 yang akan membincangkan dan mencari langkah penyelesaian isu global terutamanya yang menyentuh isu berkaitan keselamatan sosial dan ekonomi masyarakat Islam yang mengutamakan kehidupan aman dan sejahtera selaras dengan gagasan Rahmatan Lil-‘Alamin.

Sekian.

SEPANG                                                                                                                       19 November 2019

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *