Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata saman itu akan dikeluarkan terhadap perokok yang masih berdegil selepas pendekatan memberi amaran secara lisan terlebih dahulu kepada golongan berkenaan berakhir.

Bagi kesalahan kali pertama, perokok akan dikenakan saman oleh pegawai penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan terbabit dan perlu membayar saman itu dalam tempoh dua minggu.

“Sekiranya saman itu tidak dijelaskan dalam tempoh tersebut atau perokok yang didapati mengulangi kesalahan yang sama, mereka akan dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini hari ini.

Pada 6 Nov lalu, Dr Lee berkata pihaknya menggunakan pendekatan memberi amaran terlebih dahulu kepada perokok dalam tempoh enam bulan selepas larangan merokok di semua premis makanan yang dikuatkuasakan sejak 1 Jan lalu.

Sementara itu, Dr Lee berkata pihaknya kesal dengan insiden seorang pelayan restoran yang ditampar oleh seorang pelanggan hanya disebabkan menegur sekumpulan lelaki yang merokok di dalam sebuah restoran di Shah Alam, Selangor, Selasa lalu.

Beliau menyifatkan tindakan pelanggan berkenaan yang menampar pelayan restoran berusia 25 tahun itu sebagai tidak bertamadun hanya kerana ditegur supaya tidak merokok di kawasan larangan.

“Kami serahkan (kes itu) kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan tindakan lanjut terhadap individu tersebut kerana perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku,” katanya. – Bernama