Home » Langit Terbuka » Sasar 10 peratus masjid seluruh negara ada koperasi

Sasar 10 peratus masjid seluruh negara ada koperasi

Setakat ini tujuh peratus daripada kira-kira 7,000 masjid di seluruh negara yang mempunyai koperasi masing-masing - Foto Hiasan FB

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyasarkan kira-kira 10 peratus masjid di seluruh negara akan mempunyai koperasi masing-masing bermula tahun hadapan.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata penubuhan koperasi masjid secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi dalam kalangan masyarakat, selain menjadi tumpuan beribadah.

 

Katanya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan turut membantu dengan pelbagai bantuan bagi memastikan koperasi kekal aktif.

 

“Setakat ini hanya tujuh peratus daripada kira-kira 7,000 masjid di seluruh negara yang mempunyai koperasi masing-masing.

 

“Justeru saya amat menggalakkan penubuhan koperasi ini dalam usaha membantu asnaf dikawasan setempat untuk meningkatkan ekonomi masing-masing,” katanya ketika melancarkan Transformasi AsnafPreneur (TAP), di sini pada 2 November.

 

Pada majlis itu juga, sebanyak 3,500 kotak berisi makanan diberikan kepada asnaf di kawasan Lembah Pantai.

 

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Datuk Mohd Aizuddin Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan.

 

Sementara itu, sempena pelancaran TAP itu juga, Bank Rakyat menyerahkan wang zakat bernilai RM200,000 untuk diagihkan kepada kira-kira 200 penerima asnaf layak yang mengusahakan perniagaan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

Noh berkata, menerusi program TAP ini, mana-mana asnaf yang berniaga secara informal adalah golongan yang akan dibantu dengan menggunakan wang sumbangan ini.

 

“Mereka juga akan dibimbing dengan latihan keusahawanan selain pengalaman mereka sendiri dapat membantu mereka meningkatkan taraf hidup.

 

“Cogan kata kita ialah daripada penerima zakat, akan menjadi pembayar zakat pula,” katanya.

 

Program TAP ini adalah kerjasama dengan PRIHATIN dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *