Home » Langit Terbuka » Saya akan menjaga maruah negara selagi hidup

Saya akan menjaga maruah negara selagi hidup

Perdana Menteri berkata, beliau sedar mengenai cabaran yang mendatang dan akan sedaya upaya mengatasinya sebaik mungkin, untuk menjaga Malaysia. - Foto BEAM.biz

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan tidak akan menyebabkan negara terjerumus ke dalam situasi buruk, hilang maruah dan tujuan selagi beliau masih hidup.

Perdana Menteri berkata, beliau sedar mengenai cabaran yang mendatang dan akan sedaya upaya mengatasinya sebaik mungkin.

“Malaysia sebagai sebuah negara, sudah melalui pelbagai rintangan sejak kemerdekaan. Saya berada di situ ketika negara mencapai kedaulatan dan menyaksikan perjuangannya selama ini.

“Sebab itu selagi saya masih hidup, saya tidak akan membenarkan negara ini jatuh, hilang maruah, kedaulatan dan arah tujuannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Anugerah dan Majlis Makan Malam Gala Persatuan Pertubuhan Pengurusan Asia (AAMO) ke-20 di sini.

Yang turut hadir, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan bekas Ketua Polis Negara selaku Presiden Institut Pengurusan Malaysia (MIM), Tun Mohamed Hanif Omar.

Pada majlis itu, Dr Mahathir diumumkan sebagai penerima Anugerah Pembina Negara dan Pemimpin Berwawasan AAMO atas sumbangan beliau kepada negara dan juga di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman beliau memimpin negara dengan mempraktikkan kepakaran dalam bidang kedoktoran yang dimilikinya.

“Saya seorang doktor perubatan. Sebagai seorang doktor, saya akan memeriksa pesakit dan melakukan diagnosis terhadap pesakit.

“Jika ia tidak berjaya, kita perlu berfikir di luar kotak dan memikirkan cara lain termasuk melakukan pembedahan atau memotong bahagian (anggota badan).

“Begitu juga sebagai pemimpin negara, kita perlu menjalankan diagnosis dan mengkaji sesuatu perkara sebelum membuat sesuatu keputusan. Itu yang saya praktikkan selama ini,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *