Home » Langit Terbuka » Food Bank diperluas ke universiti swasta, sekolah agama tahun depan

Food Bank diperluas ke universiti swasta, sekolah agama tahun depan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (kanan) ketika merasmikan pelancaran Food Bank di Universiti Malaya sebelum ini. - Foto NSTP

KUALA NERUS – Program Food Bank Malaysia bakal diperluaskan ke lebih banyak institusi pengajian tinggi termasuk universiti swasta, kolej komuniti dan sekolah agama menjelang tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada institusi berkenaan untuk turut serta dalam program tersebut berikutan kejayaan pelaksanaan di universiti awam pada masa ini.

Katanya, tumpuan kementerian ketika ini adalah agar kesemua 20 universiti awam di negara ini akan memiliki kemudahan Food Bank menjelang akhir tahun, sekali gus bakal memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Saya yakin program ini akan menjadi satu gerakan kesukarelawanan yang baik, faedah kepada penerima juga luas dan pada masa sama kita dapat mendidik nilai-nilai baik untuk elak pembaziran.

“Saya optimis momentum Food Bank ini sebenarnya berkembang pantas berbanding ketika kami mula cetuskan idea pada Ogos tahun lalu dan sekarang sudah bulan April,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan melancarkan Food Bank Unisza di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di universiti itu di sini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd. Aziz; Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan), Datuk Rostam Affendi Salleh dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unisza, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan pek makanan kepada kira-kira 200 pelajar Unisza yang menjadi penerima program Food Bank Siswa universiti itu.

Saifuddin memberitahu, program Food Bank sudah dilancarkan di lapan kampus universiti awam iaitu Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang; Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di Johor; Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan terbaharu di Unisza di sini.

Katanya, ketika ini 430 pasar raya sudah bersetuju untuk menjayakan program berkenaan dengan berperanan sebagai pembekal.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin ketika sesi forum pada majlis itu berkata, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Food Bank Malaysia itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat hujung tahun ini bagi mengawal selia inisiatif tersebut di samping meningkatkan jumlah penyumbang. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *