Home » Langit Terbuka » Sebahagian jemaah tabligh Malaysia terkandas di India selamat pulang

Sebahagian jemaah tabligh Malaysia terkandas di India selamat pulang

Kesemua yang dibawa pulang terlebih dahulu menjalani ujian pemeriksaan kesihatan COVID-19 sejurus tiba di lapangan terbang dan seterusnya dihantar Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi di Bandar Enstek, Nilai serta Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan untuk kuarantin wajib selama 14 hari.- Foto Tribunnews

SEPANG – Pesawat membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.31 pagi tadi (18 Julai).

Kesemua 96 termasuk 62 jemaah tabligh dibawa pulang dalam misi kemanusiaan menggunakan penerbangan sewaan khas Malindo Air, yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Seramai 34 individu lagi terdiri daripada kakitangan kedutaan Malaysia serta rakyat Malaysia yang terkandas sejak lapangan terbang di India ditutup, manakala baki 11 orang adalah kru Malindo Air.

Mereka terlebih dahulu menjalani ujian pemeriksaan kesihatan COVID-19 sejurus tiba di lapangan terbang dan seterusnya dihantar Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai serta Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) untuk kuarantin wajib selama 14 hari, bermula hari ini.

Kumpulan itu dibawa keluar kira-kira jam 7.40 pagi dengan menaiki lapan bas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Difahamkan, setiap bas membawa 15 individu ke pusat kuarantin yang ditetapkan.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman, yang ditemui di KLIA, berkata kesemua mereka yang dibawa pulang sudah menjalani saringan kesihatan di India dan didapati tidak mempunyai gejala.

Katanya, mereka sekali lagi disaring sejurus tiba.

“Ini adalah misi kelima, yang pertama apabila kita membawa rakyat Malaysia dari Wuhan, China. Penerbangan kedua juga dari China, Itali, Indonesia dan Iran.

“Pengalaman membawa pulang rakyat kita dari China memudahkan proses ini dengan teratur.

“Ini adalah misi pertama membawa rakyat kita dari India kerana sebelum ini masih ada penerbangan keluar dari India selain kumpulan yang dibawa pulang dengan penerbangan khas tanpa aturan khas seperti ini,” katanya kepada pemberita. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *