Home » Langit Terbuka » Elak Covid-19: Larangan ambil daging di masjid

Elak Covid-19: Larangan ambil daging di masjid

Di Melaka pengagihan kupon kepada penerima daging korban seperti dipraktikkan sebelum ini dimansuhkan, sebaliknya AJK masjid dan petugas di rumah penyembelihan harus mengagihkan daging secara terus ke rumah penerima. - Foto Apa Kata Orang

MELAKA – Jabatan Mufti Melaka melarang mereka yang layak menerima daging korban mengambil daging di masjid atau rumah penyembelihan haiwan korban.

Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan petugas penyembelihan dikehendaki menghantar daging ke rumah penerima sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) jabatan itu bagi mengelak penularan COVID-19.

Sehubungan itu, pengagihan kupon kepada penerima daging korban seperti yang dipraktikkan sebelum ini dimansuhkan, sebaliknya AJK masjid dan petugas di rumah penyembelihan harus memikul tanggungjawab mengagihkan daging secara terus ke rumah penerima, terutama fakir miskin.

Dalam kenyataannya di sini pada 18 Julai jabatan itu berkata, aktiviti menyembelih, melapah dan memotong daging serta tulang haiwan harus mengutamakan aspek penjarakan sosial dan mengelak daripada dilakukan di lokasi sempit.

“Penganjur harus memastikan bilangan petugas sesuai dengan haiwan korban bagi memelihara kebajikan haiwan ketika dikorbankan dan penyembelihan serta agihan daging harus mematuhi panduan syarak dan matlamat korban,” kata kenyataan itu.

Jabatan itu berkata, penyembelihan haiwan korban sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) boleh dibuat di masjid dan surau serta kawasan persendirian dengan syarat mematuhi SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia juga harus memperoleh kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), selain sudah dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

Selain itu, penyembelihan juga boleh dilakukan di Rumah Sembelihan (Abatoir) DVS Jasin dan Kompleks Abatoir Alor Gajah.

Penyembelihan juga dibenarkan dibuat di Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan DVS di Bukit Tembakau, Umbai dan Sungai Putat, Batu Berendam, di sini.

Bilangan petugas yang dibenarkan hadir ketika penyembelihan lembu dan kerbau hanyalah 10 orang manakala untuk kambing hanya empat orang bagi memastikan jarak sosial sentiasa dipatuhi, selain mengelakkan kehadiran terlalu ramai orang di tempat penyembelihan.

Petugas harus dipastikan sihat, tiada gejala wabak COVID-19, bukan penghidap penyakit kronik, bukan kanak-kanak bawah 12 tahun dan bukan orang sedang dalam siasatan (PUI) serta bukan orang sedang dalam pengawasan (PUS) berkaitan wabak berkenaan. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *