Home » Citra Yadim » Semarak Aidil Adha saudara kita di Sabah dan Sarawak

Semarak Aidil Adha saudara kita di Sabah dan Sarawak

KOTA KINABALU 15 Sept.  – Bagi menyemarakkan lagi perayaan Hari Raya Aidil Adha tahun ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah menganjurkan program korban di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, bertujuan memberikan pengalaman melaksanakan ibadat korban kepada golongan saudara kita (mualaf).

Pengurus Eksekutif Yadim Zon Sabah, Samin Ongki berkata, di Sabah program korban bersama saudara kita telah diadakan di 10 lokasi di seluruh Sabah dan ia telah menghidupkan suasana Aidil Adha di kampung-kampung berkenaan.

“Sebahagian daripada penduduk berkenaan sememangnya pertama kali menyertai ibadat korban dan ini memberikan mereka pengalaman tidak ternilai dalam menghayati pengertian korban dan hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya,’’ katanya.

Sepuluh lokasi untuk program korban saudara kita adalah di Masjid Nurul Iman, Tambunan; Masjid At Taqwa, Keningau; Kampung Piasau, Kota Belud; Kuala Tomani, Tenom; Paitan; Kampung Lohan, Ranau;  Nabawan; Surau Ulul Al Bab Kampung Garuda, Kota Marudu; Kampung Wonod, Telupid dan Masjid Daerah Tongod

Samin berkata, program ini yang diadakan pada 12 hingga 14 September telah mendapat sambutan yang amat baik daripada penduduk setempat dan ini sekaligus berupaya berupaya memupuk semangat bantu membantu dan saling bekerjasama dalam kalangan masyarakat.

Beliau menjelaskan, program ini telah mendapat kerjasama daripada beberapa pihak lain seperti Jawatankuasa Masjid dan Surau berkenaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, badan dakwah daerah dan Jawatankuasa Kelas Saudara Kita

“Yadim Sabah akan menjadikan acara ini dijadikan acara tahunan dan berharap  ada badan-badan koporat, bank dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sudi bekerjasama dengan Yadim dalam melaksanakan prigram ini pada tahun hadapan,’’ katanya.

Sementara itu, di Sarawak, telah diadakan Program Ibadah Qurban Saudara Kita di Kampung Punggu Mawang, Sri Aman pada 14 September.

Dalam program itu seramai 147 keluarga dari lapan buah kampung saudara kita di sekitar daerah Pantu, Sri Aman dan Engkelili di Bahagian Sri Aman mendapat agihan daging korban.

Program berkenaan mendapat kerjasama daripada Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman, Jabatan Penerangan Sri Aman, Urusetia Saudara Kita, Tabung Baitulmal Sarawak dan Sukarelawan Al Falah Yadim unit  Sri Aman.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *